KANGAR: Penangguhan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis adalah bagi membolehkan pentadbiran kerajaan negeri menyusun semula gerak kerja dan memperincikan kaedah agar ia berjalan dengan lebih sempurna.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, penangguhan tersebut juga merupakan satu perkara biasa memandangkan beliau dan Setiausaha Kerajaan negeri masing-masing masih baharu dalam pentadbiran.
Katanya, langkah penangguhan tersebut juga bagi memastikan pihak kerajaan negeri membuat persediaan bagi memastikan perjalanan sidang DUN Perlis dapat berlangsung sebelum tarikh akhir selewat-lewatnya pada 8 Jun depan.
“Saya melihat isu penangguhan ini telah diperbesarkan, sedangkan bagi saya ia perkara biasa sahaja. Kita masih mempunyai tempoh sehingga bulan Jun, selewat-lewatnya pada 8 Jun untuk mengadakan persidangan.
“Mengikut peraturan, persidangan seterusnya tidak boleh melebihi tempoh enam bulan daripada persidangan sebelumnya, jadi tempoh tersebut masih ada,” katanya ketika ditemui selepas Program Perlis Open Moto x Meeting di Litar Motocross Sungai Batu Pahat, hari ini.
Semalam, enam wakil rakyat Pas menuntut penjelasan Abu Bakar berhubung penangguhan sidang DUN Perlis yang dijadual berlangsung pada 21 sehingga 23 April.
Enam wakil rakyat tersebut masing-masing Mohd. Shukri Ramli (Sanglang); Muhammad Azmir Azizan (Santan); Asrul Aimran Abd Jalil (Kayang); Razali Saad (Simpang Empat); Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer) dan Haziq Asyraf Dun (Beseri).
Abu Bakar berkata, adalah tidak wajar sekiranya ada pihak cuba melihat perkara ini sebagai isu kepimpinan atau memberi tekanan kepada pentadbiran kerajaan negeri.
“Dalam politik, kita tidak perlu takut. Isu takut tidak timbul di sini. Yang ada hanyalah perbezaan cara kepimpinan.
“Dulu ada cara lain dan saya sebagai Menteri Besar mempunyai pendekatan tersendiri. Saya akan buktikan bahawa persidangan itu akan diadakan sebelum tarikh akhir, iaitu sebelum 8 Jun,”katanya.
Abu Bakar berkata, beliau juga telah merujuk beberapa pihak lain bagi memastikan penangguhan ini dapat dilaksanakan demi melicinkan pentadbiran yang masih baharu.
Katanya, penangguhan itu juga telah dimaklumkan oleh Setiausaha Dewan kepada Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan serta pihak-pihak berkaitan.
“Berkenaan isu undi tidak percaya seperti yang dibangkitkan, perkara itu terletak kepada Speaker. Speaker mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada usul tersebut boleh diterima atau tidak. Dari segi bilangan, saya melihat keadaan adalah seimbang dan tiada masalah besar, namun semuanya bergantung kepada keputusan Speaker,” katanya.-UTUSAN










