Siapa sangka, di sebalik senyuman manis Manda, anak kepada pelakon Norish Karman, tersimpan seribu satu beban yang dipikul dalam diam.
Khabarnya, Manda kini menjadi tulang belakang keluarga apabila ibunya kurang sihat. Dalam usia yang masih muda, dia bukan sahaja membantu menguruskan rumah tangga, malah turut memainkan peranan sebagai ketua keluarga bersama abangnya demi memastikan adik-beradik terus terbela.
Apa yang lebih menyentuh hati Cik Bunga, Manda tidak memilih jalan mudah. Sebaliknya, dia berusaha mencari rezeki sendiri.
Cik Bunga dengar, sebelum ini Manda pernah berlakon dalam sebuah drama, memegang watak kecil selama tiga bulan. Namun bayaran yang diterima hanyalah sekitar RM2,000 sahaja. Bukan jumlah yang besar untuk tempoh tersebut, tetapi kerana desakan hidup dan tanggungjawab, dia tetap menerima tawaran itu.
Lebih pilu, duit yang diterima itu pula tidak sempat pun dirasai. Semuanya habis digunakan untuk melunaskan komitmen seperti bil dan keperluan rumah. Begitulah realiti hidup yang perlu ditempuhnya.
Cik Bunga sendiri rasa tersentuh melihat kesungguhan anak muda ini. Bukan semua mampu memikul tanggungjawab sebesar itu tanpa mengeluh. Dalam diam, Manda membuktikan dia bukan sekadar bergantung harap, sebaliknya gigih berusaha demi keluarga.
Jadi, di ruangan ini, Cik Bunga ingin menyeru, mana tahu ada pengarah atau penerbit drama yang terbaca kisah ini, mungkin boleh membuka peluang buat Manda. Kalau ada bakat, apa salahnya diketengahkan?
Bukan itu sahaja, kepada usahawan, pengasas produk atau jenama tudung di luar sana, apa kata hulurkan peluang kepada Manda sebagai model atau jurucakap? Cik Bunga tengok, rupa parasnya ada, aura pun ada. Tinggal peluang sahaja.
Sekurang-kurangnya, usaha ini dapat membantu meringankan beban yang dipikulnya. Dan yang paling penting, ia juga membuktikan bahawa Manda bukanlah seperti tanggapan sesetengah pihak, bukan berpeluk tubuh, tetapi sebenarnya sedang berjuang dalam diam.
Cik Bunga doakan yang terbaik buat Manda. Semoga ada sinar rezeki yang lebih luas selepas ini.










