LARUT: Bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan mengumumkan secara rasmi ‘rumah baharu’ iaitu parti politik yang sedang dirintisnya bulan depan.
Menurut Ahli Parlimen Larut itu, perincian mengenai rumah baharu yang dimaksudkan itu belum boleh didedahkan kerana prosesnya kini berada dalam penelitian rapi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) termasuk aspek penamaan, struktur dan kerangka organisasi.
“Bukan kita tidak mahu jelaskan tetapi nama pun belum ada. Apa yang boleh saya katakan, rumah baharu ini besar, ahlinya ramai, mencecah ratusan ribu,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Tahlil dan Rumah Terbuka Aidilfitri di Kampung Bukit Bertam, di sini hari ini.
Hamzah berkata, rumah baharu yang sedang dibina bukan sekadar sebuah parti politik tetapi satu gerakan yang berupaya mencorak semula landskap politik negara jika berjaya diterjemahkan di peringkat akar umbi.
Katanya, setakat ini lebih 130 bahagian telah menghantar pencalonan kepimpinan manakala jumlah keseluruhan dijangka mencecah 150 bahagian dalam tempoh terdekat.
“Ia merupakan satu angka yang mencerminkan mobilisasi sokongan yang semakin tersusun,” katanya.
Sementara itu, mengulas peletakan jawatan beliau sebagai Ketua Pembangkang, Hamzah berkata, pelantikan beliau ke jawatan itu sebelum ini bukan keputusan individu sebaliknya hasil muafakat dalam Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, Ketua Pembangkang bukan milik mutlak mana-mana individu sebaliknya ditentukan oleh kekuatan sokongan dalam kalangan Ahli Parlimen Pembangkang.
“Dalam blok pembangkang hari ini ada tiga kelompok utama iaitu Pas, Bersatu dan Bebas.
“Ahli-ahli Parlimen daripada ketiga-tiga blok inilah yang akan menentukan siapa Ketua Pembangkang seterusnya sebelum Parlimen bersidang,” katanya.
Hamzah yang dipecat daripada Bersatu kini mencari wadah baharu demi kelangsungan karier politiknya sama ada menubuhkan parti baharu atau menyertai parti dalam komponen PN sedia ada. – UTUSAN










