Palsukan dokumen, Timbalan Pengarah AADK didenda RM8,000 - Utusan Malaysia

Palsukan dokumen, Timbalan Pengarah AADK didenda RM8,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Seorang Timbalan Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) didenda RM8,000 setelah mengaku bersalah mengemukakan dokumen palsu bagi tuntutan elaun perjalanan di Mahkamah Khas Rasuah, hari ini.

Hakim Abu Bakar Manat menjatuhi hukuman itu terhadap Christopher Anak Billy, 44, setelah tertuduh mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan melakukan tuntutan elaun perjalanan palsu antara April hingga September 2017.

Tertuduh yang kini bertugas di Sarawak didakwa mengemukakan dokumen palsu iaitu resit penginapan beberapa buah hotel dengan jumlah keseluruhan RM1,386 untuk tuntutan elaun perjalanan dalam negeri bagi tempoh 5 April hingga 28 September 2017 di Pejabat AADK negeri Sabah.

Bagi pertuduhan pertama, timbalan pengarah itu didakwa mengemukakan resit penginapan palsu yang bernilai RM240 bagi tuntutan elaun perjalanan dalam negeri bagi Mac.

Untuk pertuduhan kedua hingga keempat, tertuduh mengemukakan resit penginapan palsu masing-masing bernilai RM270, RM534 dan RM345 bagi tuntutan elaun perjalanan dalam negeri dari Julai sehingga September 2017.

Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Justeru, hakim menjatuhi hukuman denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal bayar, tertuduh boleh dipenjarakan selama dua bulan.

Tertuduh menyelesaikan kesemua bayaran denda hari ini.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Dzulkarnain Rousan Hasbi, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Adnan Puteh & Saleh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN