TEHERAN: Selat Hormuz yang penting tidak akan dibuka semula sehingga Amerika Syarikat (AS) menarik balik sekatan lautnya ke atas pelabuhan Iran, kata Teheran pada Sabtu, ketika seorang pegawai kanan memberi amaran bahawa perjanjian damai muktamad masih jauh untuk dicapai.
Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf berkata dalam ucapan yang disiarkan di televisyen bahawa terdapat kemajuan dalam rundingan dengan Washington tetapi masih banyak jurang dan beberapa perkara asas belum diselesaikan.
“Kami masih jauh daripada perbincangan akhir,” kata Ghalibaf, salah seorang perunding Teheran dalam rundingan yang bertujuan menamatkan perang yang dilancarkan oleh Israel dan AS terhadap Republik Islam itu pada 28 Februari lalu.
Gencatan senjata selama dua minggu dijadualkan berakhir pada Rabu kecuali ia diperbaharui.
Presiden ASt, Donald Trump, berkata pada masa yang sama bahawa perbincangan yang sangat baik sedang berlangsung dengan Iran tetapi memberi amaran kepada Teheran agar tidak cuba memeras ugut Amerika..
Pada Jumaat, Teheran telah mengumumkan bahawa Selat Hormuz, yang biasanya membawa kira-kira satu perlima daripada minyak dunia dan gas asli cecair, dibuka selepas gencatan senjata dipersetujui dalam perang Israel dengan sekutu Iran, Hizbollah di Lubnan.
Perkembangan itu mencetuskan kegembiraan di pasaran global dan menyebabkan harga minyak menjunam.
Namun, dengan Trump menegaskan bahawa sekatan ke atas pelabuhan Iran akan diteruskan sehingga satu perjanjian dicapai untuk menamatkan perang, Teheran berkata, ia akan menutup semula selat tersebut.
“Jika Amerika tidak menarik balik sekatan, pergerakan di Selat Hormuz pasti akan dihadkan,” kata Ghalibaf.
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei, yang belum kelihatan sejak mengambil alih kuasa daripada bapanya,, Ayatollah Ali Khamenei yang terbunuh dalam serangan AS-Israel berkata dalam mesej bertulis bahawa tentera laut Iran bersedia untuk menewaskan Amerika. – AFP










