Serpihan tulang di Mexico City ‘hantui’ Piala Dunia

Serpihan tulang di Mexico City ‘hantui’ Piala Dunia

PAKAR forensik menyusun dan melabel serpihan tulang semasa pencarian sisa manusia berhampiran Tasik Chalco di daerah Tláhuac, Mexico City. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Lebih 1,000 serpihan tulang ditemui berhampiran sebuah tasik di Mexico City, menurut pihak berkuasa dan kumpulan sukarelawan, hanya beberapa minggu sebelum bandar itu menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Piala Dunia FIFA.

Penemuan itu sekali lagi mengingatkan tentang keganasan perang dadah di negara itu.

Sekumpulan keluarga yang mencari orang tersayang mereka berkata, penemuan mengerikan berhampiran Tasik Chalco itu menunjukkan realiti yang mengejutkan dan krisis forensik yang tidak terhitung skalanya.

“Walaupun pihak berkuasa mahu perkara ini tidak mendapat perhatian, keluarga mangsa mahu seluruh dunia mengetahui tragedi yang berlaku di ibu negara,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa bandar minggu lalu mula menjalankan proses penggalian di kawasan tepi tasik di bahagian timur Mexico City dan pihak pendakwa raya pada Isnin mengumumkan kira-kira 300 serpihan tulang yang dipercayai milik tiga individu ditemui.

Namun kumpulan sukarelawan itu berkata, mereka menemui lebih 1,000 serpihan tulang di dalam dan sekitar kawasan tersebut, termasuk di lokasi yang sebelum ini telah diperiksa oleh ejen kerajaan.

Lebih 480,000 orang terbunuh dan sekitar 130,000 lagi dilaporkan hilang dalam perang dadah Mexico sejak 2006, apabila kerajaan mengerahkan tentera persekutuan untuk memerangi kartel dadah berkuasa di negara itu.

Satu jawatankuasa pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan krisis kehilangan orang sebagai jenayah terhadap kemanusiaan, sambil menyatakan usaha mencari mayat manusia terhalang oleh tindakan lemah pihak penjawat awam.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum mengkritik laporan tersebut dengan alasan ia mengabaikan dasar baharu yang dilaksanakan untuk membantu keluarga mangsa yang hilang.

Dalam satu pertemuan dengan pegawai bandar pada Jumaat, aktivis menuntut agar operasi pencarian diteruskan tanpa henti sehingga keseluruhan kawasan diperiksa sepenuhnya.

Kedua-dua Mexico City dan Guadalajara sedang bersiap untuk menjadi tuan rumah perlawanan Piala Dunia pada Jun, dengan para penunjuk perasaan di kedua-dua bandar mengecam kegagalan kerajaan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes kehilangan. Amerika Syarikat (AS) dan Kanada turut menjadi tuan rumah bersama kejohanan tersebut.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×