SEVILLA: Real Sociedad menjuarai Copa del Rey selepas menewaskan Atletico Madrid 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi final di Stadium La Cartuja, semalam, selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2.
Kejayaan itu menyaksikan Sociedad meraih trofi Copa del Rey buat kali keempat dalam sejarah kelab, sekali gus menamatkan penantian sejak kali terakhir menjulang piala tersebut pada 2021.
Perlawanan akhir menyaksikan aksi dramatik apabila penjaga gol Sociedad, Unai Marrero muncul wira pasukan selepas menyelamatkan dua sepakan penalti awal Atletico yang diambil oleh Alexander Sorloth dan Julian Alvarez.
Bagaimanapun, Atletico turut memberi saingan apabila penjaga gol mereka, Juan Musso berjaya menafikan sepakan Orri Oskarsson.
Namun, pemain Sociedad, Pablo Marin menjadi wira apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti terakhir untuk memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan Basque itu.
“Saya cuba menenangkan fikiran, kekal tenang dan fokus. Real Sociedad adalah hidup saya, saya sudah bersama kelab ini sejak kecil. Ini adalah detik paling bermakna dalam hidup saya, memenangi kejuaraan bersama kelab yang saya cintai,” katanya.
Untuk rekod, pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di pentas final Copa del Rey adalah pada 1987 yang turut berakhir 2-2 sebelum Sociedad muncul juara menerusi penentuan penalti.
Kemenangan kali ini mengulangi sejarah sama, sekali gus menafikan hajat Atletico Madrid yang masih memburu kejuaraan pertama sejak 2013. – AGENSI










