PUTRAJAYA: Jawatankuasa khas yang ditugaskan bagi menyiasat kes kematian tragik Muhammad Adib Mohd. Kassim, hari ini bersetuju untuk melantik seorang pakar patologi kanan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pakar tersebut bakal melakukan penyiasatan yang lebih teliti.
“Ia akan memeriksa keputusan dibuat Mahkamah Koroner dan dapatan penyiasatan polis selain pelbagai laporan punca kematian Allahyarham,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mangsa yang berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Selangor meninggal dunia pada 2018 lalu ekoran cedera parah diserang perusuh sebuah kuil Hindu dekat situ.
Allahyarham ketika kejadian berusia 24 tahun itu, dipercayai dipukul oleh beberapa suspek namun mereka dibebaskan mahkamah sehingga mencetuskan kemarahan banyak pihak.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas itu berkata, pakar bedah siasat tersebut akan diberi tarikh akhir spesifik bagi membuat rumusan kes berkenaan.
“Satu laporan yang lebih terperinci akan diterbitkan berdasarkan penemuan siasatan itu dan kerajaan amat serius bagi menyelesaikan kemelut kes ini,” jelas beliau dalam nada tegas.
Jawatankuasa tersebut dijadualkan bertemu sekali lagi dalam masa sebulan sejurus mereka menerima laporan daripada jawatankuasa kecil yang melibatkan pakar patologi kanan itu.
Turut menyertai jawatankuasa itu ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Mesyuarat sulung yang diadakan di Bukit Aman, Kuala Lumpur semalam juga disertai Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.
“Kami berpendapat bahawa adalah jelas ini bukan kes yang mudah ditangani dan memerlukan pelbagai peringkat penyiasatan dan memutuskan perlu ada pakar patologi kanan,” katanya.
Wan Junaidi menambah, sepanjang mesyuarat 90 minit itu, mereka meneliti segala fakta dan kronologi kematian Muhammad Adib serta tindakan seterusnya berdasarkan laporan terkini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu lalu mengumumkan keputusan Kabinet untuk membentuk jawatankuasa khas itu di samping dua lagi pasukan petugas lain.
Langkah itu sekali gus membuktikan komitmen kerajaan memastikan keadilan ditegakkan dan pihak terbabit menyebabkan kematian Muhammad Adib akan menerima hukuman setimpal. – UTUSAN










