Justin akhirnya jejakkan kaki ke suku akhir

Justin akhirnya jejakkan kaki ke suku akhir

Justin Hoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke suku akhir pada Jelajah Dunia BWF, selepas lapan bulan gagal berbuat demikian apabila kerap tersingkir sama ada di pusingan pertama atau kedua.

Anak jati Kuala Lumpur yang menghuni ranking ke-47 dunia itu membenam pemain No. 36 dunia, Nhat Nguyen dari Ireland 21-17, 21-19 dalam masa 55 minit pada peringkat 16 terbaik Terbuka Australia di Sydney, hari ini.

Kali terakhir pemain berusia 22 tahun itu mara ke suku akhir adalah pada Kejohanan Badminton Malaysia Super 100, Oktober tahun lalu di Johor.

Pemain yang berada di ranking No. 35 dunia, Moh. Zaki Ubaidillah menanti Justin di suku akhir, esok, dengan rekod pertemuan 2-1 berpihak kepada wakil Indonesia tersebut.

Namun, pada pertemuan terakhir kedua-dua pemain itu, Justin berjaya menewaskan Zaki 21-16, 21-19 pada Kejohanan Berpasukan Asia di China, Februari lalu.

Bagaimanapun, kemaraan Justin gagal diikut jejak oleh pemain perseorangan wanita Malaysia, Wong Ling Ching yang tunduk kepada Huang Yu Hsun dari Taiwan 18-21, 19-21 dalam masa 38 minit.

Turut ditunjukkan jalan keluar adalah tiga beregu campuran negara, Loo Bing Kun-Noraqilah Maisarah Ramdan, Jimmy Wong-Cheng Su Yin dan Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing yang tumpas di tangan lawan masing-masing.

Bing Kun-Noraqilah bukanlah tandingan beregu No. 1 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China apabila mereka tewas mudah 9-21, 8-21 dalam masa 30 minit.

Jimmy-Su Yin pula yang perlu berdepan pasangan Thailand No. 13 dunia, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat terpaksa akur dalam pertarungan yang berlangsung sengit sebelum kalah 15-21, 21-15, 20-22 dalam masa 1 jam 8 minit.

Ganding profesional yang lebih berpengalaman, Pang Ron-Pei Jing pula tunduk kepada wakil Hong Kong, Chan Yin Chak-Ng Tsz Yau 12-21, 8-21 dalam masa 25 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN