BATU PAHAT: Seorang datuk berusia 67 tahun direman enam hari bermula semalam selepas disyaki merogol cucunya berusia 13 tahun, tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan kejadian tersebut.
“Polis sudah menahan suspek warga emas itu yang kini dalam tahanan reman,” katanya ketika dihubungi.
Perintah reman ke atas suspek dikeluarkan oleh Majistret Arun Noval Dass bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.
Berdasarkan laporan, polis menerima laporan mengenai kejadian dua hari lalu selepas mangsa menceritakan insiden tersebut kepada ibunya.
Siasatan awal mendapati, mangsa berusia 13 tahun tinggal bersama-sama datuknya di sebuah rumah dalam daerah ini selepas ibu bapanya bercerai.
Bagaimanapun, ibu mangsa membawa mangsa pulang ke sebuah negeri di utara tanah air, pada April lalu.
Kejadian tidak bermoral itu terbongkar selepas ibunya menyedari mangsa menghantar mesej kepada seorang kenalan.
Mangsa pada awalnya enggan membuka mulut menceritakan kejadian yang menimpanya namun selepas didesak akhirnya dia memberitahu dirogol datuk sendiri.
Perbuatan terkutuk itu dipercayai dilakukan pesara tersebut terhadap cucunya sepanjang tahun lalu dan kali terakhir berlaku pada Disember lalu.
Sebelum ini, tular video memaparkan ibu kepada mangsa tidak dapat menahan kemarahan terhadap seorang lelaki warga emas yang mengaku merogol cucunya di sebuah rumah di daerah ini sejak tahun lalu.
Melalui video yang tular di pelbagai platform media sosial itu, suspek mengakui melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap cucunya. – UTUSAN










