BUTTERWORTH: Dua premis memproses makanan diarahkan menutup operasi selama dua minggu di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 bagi kerja-kerja pembersihan ekoran najis tikus.
Ketua Unit Penguatkuasaan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan negeri, Mohd. Wazir Khalid berkata, arahan itu dibuat susulan penemuan najis tikus dalam Op Bersih yang dijalankan di kedua-dua buah premis di sini dan Tasek Gelugor, hari ini.
Katanya, serbuan pertama dibuat terhadap sebuah kilang memproses tauhu di Kampung Selamat, Tasek Gelugor yang dipercayai beroperasi selama 10 tahun.
“Kilang ini pernah diperiksa lebih dua bulan lalu, namun operasi yang dijalankan ketika itu hanya melibatkan soal pematuhan SOP (prosedur operasi standard).
“Bagaimanapun, apabila ia diperiksa semula hari ini, kita bukan sahaja menjumpai najis tikus dalam stor mereka tetapi keadaan kilang yang kotor dengan lebihan tauhu berselerakan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi itu.
Selain 15 anggota daripada Jabatan Kesihatan negeri khususnya BKKM, operasi turut disertai dua anggota penguat kuasa daripada Bahagian Pelesenan, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Jelas Mohd. Wazir, serbuan kedua pula dibuat terhadap sebuah kilang memproses belacan di sini yang dipercayai beroperasi lebih lima tahun tanpa memiliki lesen perniagaan sah.
Katanya, operasi kilang itu disyaki berselindung di sebalik sebuah kilang lain iaitu kilang memproses gaharu yang dipercayai mempunyai ikatan saudara dengan pemilik kilang memproses belacan tersebut.
Menurut beliau, kilang kedua itu juga mempunyai masalah kebersihan apabila belacan yang dijemur untuk diproses itu dipercayai turut dipijak oleh pekerja di situ.
“Secara keseluruhannya, kita telah keluarkan sebanyak tujuh notis kompaun yang bernilai RM12,000 atas pelbagai kesalahan berkaitan kebersihan.
“Pada masa yang sama, kita dapati terdapat antara lapan hingga sembilan pekerja di kedua-dua buah premis belum mendapat suntikan tipoid dan mereka turut dikenakan kompaun secara individu untuk kesalahan itu,” ujarnya.
Tambah beliau, kesalahan lain yang turut dikesan dalam serbuan itu ialah peralatan yang digunakan kotor, tidak memakai pakaian perlindungan diri (PPE) dan sebagainya. – UTUSAN ONLINE