WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dilaporkan sedang mempertimbangkan serangan ketenteraan baharu terhadap Iran selepas rundingan damai di Pakistan gagal menamatkan perang, menurut laporan The Wall Street Journal.
Naib Presiden AS, JD Vance bersama delegasinya mengetuai rundingan di Islamabad, namun perbincangan berakhir tanpa sebarang kesepakatan.
Presiden Donald Trump dan para penasihatnya kini meneliti kemungkinan menyambung semula serangan ketenteraan berskala terhad ke atas Iran, selain melaksanakan sekatan laut di Selat Hormuz sebagai langkah untuk memecahkan kebuntuan, lapor akhbar itu semalam.
Malah, Trump berkata, beliau tidak peduli sama ada Iran kembali ke meja rundingan dengan AS.
Katanya, perasaan tidak peduli itu wujud selepas rundingan hujung minggu di Islamabad tidak membuahkan hasil yang diinginkan.
“Saya tidak peduli sama ada mereka kembali atau tidak. Kalau mereka tidak kembali, saya tidak kisah,” katanya kepada wartawan.
Bercakap dari resortnya di Florida, Trump turut memberitahu Fox News kemudahan seperti loji tenaga dan sistem bekalan air Iran boleh menjadi sasaran sekiranya ketegangan terus memuncak.
“Saya tidak mahu melakukannya, tetapi itu adalah sumber air mereka, loji penyahgaraman dan loji penjanaan elektrik yang sangat mudah diserang,” katanya sambil menyatakan semua pilihan masih terbuka.
SERANGAN BERISIKO
Jurucakap Rumah Putih, Olivia Wales berkata, Presiden bijak mengekalkan semua pilihan tambahan di atas meja dan mengesahkan sekatan laut di Selat Hormuz bertujuan menamatkan ‘pemerasan Iran’.
Washington menuntut Iran menghentikan sepenuhnya aktiviti pengayaan uranium, menamatkan kemudahan berkaitan serta menerima rangka kerja keselamatan yang lebih luas.
Sekatan tersebut juga bertujuan memutuskan sumber pendapatan minyak Iran, yang menyumbang hampir separuh daripada bajet kerajaan negara itu.
Bagaimanapun, pakar berpendapat, pendekatan itu bakal mencetus risiko besar kerana kapal Tentera Laut AS yang beroperasi berhampiran perairan Iran berdepan ancaman serangan dron dan peluru berpandu secara mengejut.
Perkara itu turut dipersetujui bekas pegawai kanan Pentagon semasa pentadbiran Joe Biden yang kini bersama Institut Dasar Asia Barat Washington, Dana Stroul.
“Trump mahukan penyelesaian segera. Realitinya, misi ini sukar dilaksanakan secara bersendirian dan berkemungkinan tidak mampan dalam jangka sederhana hingga panjang,” katanya.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer berkata pada Isnin United Kingdom (UK) tidak akan menyokong sekatan di Selat Hormuz walaupun berdepan tekanan dan tidak akan terlibat dalam perang dengan Iran.
“Kami tidak menyokong sekatan itu,” katanya kepada BBC Radio 5 Live, dan menyatakan bahawa adalah penting untuk memastikan selat tersebut dibuka sepenuhnya.
“Pada pandangan saya, amat penting untuk kita memastikan selat itu dibuka sepenuhny, dan itulah yang menjadi fokus usaha kami sejak beberapa hari lalu dan akan diteruskan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Britain mempunyai kapal pembersih periuk api di rantau berkenaan, tetapi keupayaan ketenteraan itu tertumpu kepada memastikan laluan di Selat Hormuz kekal terbuka.
TUNTUTAN DITOLAK
Seorang pegawai AS berkata, Iran menolak tuntutan Washington untuk menghentikan sepenuhnya aktiviti pengayaan uranium, merobohkan semua kemudahan pengayaan utama dan memindahkan uranium yang diperkayakan.
Iran juga menolak permintaan AS supaya menghentikan pembiayaan terhadap kumpulan Hamas, Hizbollah dan Houthi, selain tidak bersetuju untuk membuka sepenuhnya Selat Hormuz, tambah pegawai itu.
Media Iran berkata, terdapat persetujuan terhadap beberapa isu, namun Selat Hormuz dan program nuklear Iran kekal menjadi titik pertikaian utama.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, Teheran berdepan dengan sikap maksimalis, perubahan tuntutan dan sekatan ketika hampir mencapai ‘Memorandum Persefahaman Islamabad’.
“Tiada pengajaran yang diambil. Niat baik akan dibalas dengan niat baik. Permusuhan akan dibalas dengan permusuhan,” katanya.
Walaupun gencatan senjata kekal, ramai penganalisis menjangkakan ia akan mengambil masa sebelum aliran tenaga di Teluk kembali normal, sehingga menyebabkan harga bahan api meningkat dan inflasi global bertambah.
Trump dalam program Fox News Sunday Briefing berkata, harga minyak dan petrol mungkin kekal tinggi sehingga pilihan raya pertengahan penggal November, satu pengakuan jarang berlaku tentang kemungkinan kesan politik akibat konflik tersebut.
Ketua Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf memuat naik peta harga petrol di kawasan Washington di media sosial dengan komen sindiran.
“Nikmati harga pam semasa dengan apa yang dipanggil ‘sekatan’. Tidak lama lagi anda akan merindui harga AS$4 hingga AS$5 (RM15.90 hingga RM19.87) segelen (3.78 liter),” katanya.










