Minyak naik, pasaran saham jatuh susulan ketegangan

Minyak naik, pasaran saham jatuh susulan ketegangan di Selat Hormuz

KONFLIK berterusan di Asia Barat terus mendorong ketidaktentuan bagi pasaran saham dan minyak mentah global. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran saham utama jatuh dan minyak melonjak pada Isnin, selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan akan menyekat Selat Hormuz, sekali gus meningkatkan ketegangan di Asia Barat selepas Washington dan Tehran gagal mencapai persetujuan dalam gencatan senjata.

Niaga hadapan minyak mentah melonjak semula melebihi AS$100 (RM397.48) setong, dengan Brent meningkat 7.91 peratus kepada AS$102.7 (RM408.21) setong, manakala  West Texas Intermediate naik 8.28 peratus kepada AS$104.6 (RM415.76) setong pada lewat petang semalam.

Sementara itu, Indeks Nikkei 225 susut 421.34 mata atau 0.74 peratus kepada 56,502.77 ketika ditutup semalam.

Selain itu, STI Singapura turun 0.29 peratus kepada 4,975.08 dan indeks KOSPI Korea Selatan menjunam 50.25 mata atau 0.86 peratus kepada 5,808.62. 

Bagi pasaran saham tempatan pula, FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) jatuh 10.79 mata kepada 1,680.52 pada 5 petang semalam,  berbanding 1,691.31 ketika ditutup pada Jumaat lalu, selepas dibuka lemah pada 1,682.43.

Bagaimanapun, ringgit kekal berdaya tahan di bawah RM4 berbanding dolar AS apabila ditutup pada 3.9730/3.9770 berbanding 3.9670/3.9720 ketika ditutup pada Jumaat.

Aset selamat mendapat daya tarikan, apabila indeks dolar AS meningkat 0.3 peratus hampir kepada 100, manakala emas merosot satu peratus kepada AS$4,738 seauns (RM605.50 segram), mencerminkan kebimbangan baharu tentang pengetatan monetari oleh bank pusat global susulan lonjakan minyak mentah.

Trump mengumumkan sekatan Selat Hormuz, laluan air kritikal yang mengawal kira-kira 20 peratus aliran minyak global, di platform media sosialnya, sambil menambah bahawa Iran akan ‘dihancurkan’ jika ia membalas tindakan AS.

Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kenaikan harga minyak susulan kegagalan rundingan antara Iran dan AS lazimnya bersifat reaktif dalam jangka pendek, dipacu oleh kebimbangan terhadap sekatan tambahan atau gangguan bekalan. 

Namun, beliau berkata, perkara ini bergantung kepada beberapa faktor seperti selama mana konflik akan berterusan dan respons daripada pengeluar utama seperti Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

“Jika ketegangan berlarutan dan menjejaskan aliran fizikal minyak, trend kenaikan mungkin akan kekal. Sebaliknya, jika wujud kompromi diplomatik atau peningkatan pengeluaran oleh negara lain, harga berpotensi stabil semula dalam tempoh sederhana,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, lonjakan harga minyak mentah meningkatkan kos operasi bagi sektor pengangkutan, pembuatan dan utiliti, sekali gus menekan margin keuntungan syarikat tersenarai. 

“Pada masa yang sama, sentimen geopolitik mendorong pelabur beralih kepada aset lebih selamat selain dari aset ekuiti. 

“Ketidaktentuan ini meningkatkan premium risiko global dan mempercepatkan aliran keluar modal dari pasaran sedang pesat membangun, sekali gus mempercepatkan kejatuhan indeks saham,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, rundingan di antara AS dan Iran gagal menghasilkan sebarang persetujuan serta keputusan Trump yang mengarahkan tentera AS untuk menghalang pergerakan laluan perdagangan di Selat Hormuz menyumbang kepada gangguan dalam pasaran. 

“Isu masih berkait dengan gangguan rantaian perniagaan dalam sektor minyak dan gas, baja, aluminium dan pelbagai lagi dan produk-produk ini dijangka akan terus mengalami kenaikan harga. 

“Oleh itu, kebimbangan terhadap situasi ini dan kesannya kepada momentum pertumbuhan ekonomi global menjadikan pasaran kewangan global menjadi lebih meruap akibat selera risiko yang terus merosot,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN