Red Giants tumbang lagi di final

Red Giants tumbang lagi di final

FAISAL Halim (kanan) ketika beraksi menentang Buriram United di Stadium Chang Arena, Buriram, hari ini. - IHSAN SELANGOR FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasrat Selangor FC untuk melakar sejarah menjulang trofi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) tidak kesampaian apabila tewas 2-1 kepada Buriram United pada aksi final kedua di Stadium Chang Arena, Buriram, malam tadi.

Kekalahan itu menyaksikan wakil Malaysia berkenaan akur tersingkir dengan agregat 3-1 selepas turut kecundang 1-0 pada aksi final pertama di Kelana Jaya minggu lalu.

Kejayaan tersebut sekali gus membolehkan Buriram mempertahankan kejuaraan serantau itu buat musim kedua berturut-turut selepas muncul juara pada edisi sulung tahun lalu.

Anak buah Kim Pan-gon bagaimanapun memulakan aksi dengan cukup meyakinkan apabila berani mengasak kubu tuan rumah sejak minit awal dalam usaha memburu jaringan pantas.

Usaha agresif Selangor akhirnya berhasil pada minit ke-18 menerusi rembatan jarak jauh Syahir Bashah yang gagal diselamatkan penjaga gol Buriram, Neil Etheridge sekali gus menyamakan agregat kepada 1-1.

Namun, kelebihan itu hanya bertahan 10 minit apabila Suphanat Mueanta menghukum kelekaan benteng Selangor sebelum mudah menewaskan Sikh Izhan Nazrel untuk mengembalikan kelebihan agregat kepada tuan rumah.

Memasuki babak kedua, Buriram tampil lebih tenang mengawal rentak permainan sebelum Theerathon Bunmathan menambah derita Selangor menerusi voli menarik pada minit ke-56.

Selangor hampir dibolosi buat kali ketiga di penghujung aksi menerusi jaringan Robert Zulj namun gol tersebut dibatalkan, sekali gus menyaksikan keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN