Iran ikrar hancurkan rantau teluk

Iran ikrar hancurkan rantau teluk

IRAN akan hancurkan pelabuhan di Teluk Parsi dan Laut Oman jika AS menghalang laluan perkapalan ke pelabuhannya. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Iran berjanji akan menghancurkan semua pelabuhan di Teluk Parsi dan Laut Oman jika tentera Amerika Syarikat (AS) menghalang laluan perkapalan ke pelabuhannya.

Amaran itu dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya negara itu selepas Markas Pusat AS (CENTCOM) mengumumkan mereka akan melakukan sekatan ke atas trafik maritim ke dan dari pelabuhan Iran dengan memetik satu pengisytiharan yang dikeluarkan oleh Presiden Donald Trump.

Ia juga dikeluarkan selepas rundingan dua hari antara Iran dan AS di Islamabad, Pakistan untuk menamatkan perang yang berlangsung sejak 28 Februari lalu gagal.

“Jika keselamatan pelabuhan Republik Islam Iran di Teluk Parsi dan Laut Oman diancam, tiada pelabuhan di Teluk Parsi dan Laut Oman akan selamat,” kata jurucakap Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya dalam satu kenyataan melalui penyiar Iran, IRIB dan Tasnim News Agency.

“Angkatan Tentera Republik Islam Iran menganggap mempertahankan hak undang-undang negara kami sebagai kewajipan semula jadi dan sah. Oleh itu, melaksanakan kedaulatan Republik Islam Iran di perairan wilayah negara kami adalah hak semula jadi rakyat Iran,” tambah kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu mengesahkan bahawa sekatan sedia ada Iran di Selat Hormuz akan diteruskan dan akan dijadikan satu struktur kekal.

“Keselamatan di perairan wilayah Republik Islam Iran akan terus dijamin dengan tegas oleh angkatan tentera dan seperti yang telah dinyata­kan berkali-kali, kapal yang berkaitan dengan musuh tidak akan mempunyai hak untuk melalui Selat Hormuz.

Menurut kenyataan itu, kapal-kapal lain akan terus dibenarkan melalui selat tersebut tertakluk kepada pematuhan peraturan angkatan tentera Republik Islam Iran.

“Memandangkan ancaman berterusan daripada musuh terhadap rakyat Iran dan ke­selamatan negara kami, walaupun selepas perang berakhir, Republik Islam Iran akan me­laksanakan dengan tegas satu mekanisme kekal untuk me­ngawal Selat Hormuz.

“Sekatan yang dikenakan oleh AS yang bersifat jenayah terhadap pergerakan kapal di perairan antarabangsa adalah satu tindakan yang tidak sah dan bersamaan dengan lanun,” kata angkatan tentera Iran.

Sejak perang dimulakan AS dan Israel itu, Iran telah me­lancarkan lebih 5,000 serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan pangkalan-pangkalan AS serta lokasi kritikal di tujuh negara Arab sejak 28 Februari, menurut data rasmi yang disiarkan agensi berita AA.

Bagaimanapun, Trump me­ngumumkan gencatan senjata selama dua minggu bermula 7 April lalu untuk kedua-dua pihak mengadakan rundingan yang akhirnya gagal selepas Teheran menyatakan tuntutan Washington seperti senjata nuklear bagi menamatkan perang adalah tidak munasabah.

Dalam perang itu, tentera AS-Israel membunuh Pemim­pin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang kemudian diganti oleh anaknya, Ayatollah Mojtaba manakala lebih 2,000 orang di Teluk termasuk Iran, 13 askar AS dan 26 individu di Israel terkorban.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN