Perang punca pencemaran alam di Teluk Parsi, Selat Hormuz

Perang punca pencemaran alam di Teluk Parsi, Selat Hormuz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEPERANGAN Teluk 1991 antara Iraq dan Kuwait bukan sekadar catatan geopolitik, tetapi juga tragedi ekologi yang menggoncang dunia. Lebih empat hingga ke lapan juta tong minyak mentah ditumpahkan ke Teluk Parsi, menjadikannya tumpahan minyak terbesar dalam sejarah moden.

Ditambah pula dengan lebih 700 telaga minyak dibakar, menghasilkan asap tebal, hujan hitam dan tasik minyak yang mencemari tanah serta laut. Dunia menyaksikan bagaimana peperangan bukan sahaja meragut nyawa manusia dan kesan ekonomi, tetapi turut meranapkan ekosistem yang menjadi nadi kehidupan.

Teluk Parsi bukan kawasan biasa. Ia adalah pusat strategik yang mengeluarkan hampir 31 peratus minyak mentah dunia, manakala 20 peratus perdagangan minyak dan gas global melalui Selat Hormuz setiap hari.

Maka, apabila perang meletus, bukan sahaja bekalan tenaga dunia tergugat, tetapi juga ekosistem marin dan pantai yang menjadi habitat ribuan spesies terancam.

APABILA perang meletus, bukan sahaja bekalan tenaga dunia tergugat, tetapi juga ekosistem marin dan pantai yang menjadi habitat ribuan spesies terancam.

Pada awal 1991, lebih 800 telaga minyak diletupkan dan 600 daripadanya terbakar. Pelepasan gas sulfur dioksida mencecah 24,000 tan sehari, manakala karbon dioksida melonjak sehingga 140 juta tan, bersamaan tiga peratus pelepasan global tahunan akibat bahan api fosil.

Suhu di kawasan teluk meningkat, menjejaskan iklim mikro dan kesihatan manusia. Walaupun kesan global dikatakan sementara, tragedi ini meninggalkan luka mendalam kepada ekosistem tempatan.

Pemulihan kesan tumpahan minyak boleh berlaku dalam tempoh tiga hingga ke lima tahun, tetapi hakikatnya 700 kilometer pantai tetap tercemar. Lebih 50 peratus kawasan paya dan hutan bakau musnah, populasi ikan dan udang merosot, manakala ekosistem batu karang serta rumput laut turut terjejas.

Kajian saintifik mendapati komuniti benthik, organisma dasar laut seperti moluska dan krustasea, mengalami kemerosotan besar. Hidupan benthik yang menjadi asas rantai makanan marin tidak kembali pulih sepenuhnya walaupun selepas sedekad.

Burung pantai hijrah yang datang dari Siberia, Scandinavia dan Asia Utara setiap tahun menjadi mangsa senyap pencemaran. Bulu mereka disaluti minyak, mengganggu keupayaan terbang dan penebat haba. Ketika membersihkan bulu, burung menelan minyak dan meracuni mereka.

Laporan saintifik mendapati antara 22 hingga 50 peratus populasi burung pantai mati, dengan anggaran 100,000 ekor burung terkorban pada 1991.

Burung pantai seperti kedidi bergantung kepada kawasan pasang surut Teluk Parsi sebagai lokasi persinggahan migrasi. Namun pencemaran minyak menjejaskan habitat lumpur dan pantai, menyebabkan kehilangan sumber makanan.

Kepelbagaian spesies burung pantai menurun, sekali gus mengganggu jaringan migrasi di laluan lain termasuk laluan Asia Timur-Australasia (EAAF). Penyu hijau, dugong dan ikan lumba-lumba turut menjadi korban. Kajian merekodkan kadar menetas telur penyu menurun dan kematian mamalia laut juga berlaku.

Lebih 330 spesies burung hijrah singgah di kawasan tanah lembap Bahrain, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait dan Iran. Teluk Parsi adalah persinggahan kritikal bagi berjuta-juta burung hijrah. Jika konflik berulang, usaha pemuliharaan selama puluhan tahun boleh musnah sekelip mata.

Selain minyak, peperangan turut menyebabkan pencemaran logam berat. Logam ini bersifat bioakumulatif, terkumpul dalam organisma bentik, ikan dan burung. Bahan kimia merbahaya ini akhirnya masuk ke tubuh manusia melalui makanan laut.

Kesan jangka panjang termasuk kerosakan hati, sistem pembiakan, serta mutasi genetik. Populasi burung hijrah yang kecil, tercemar, mudah tertekan, dan terganggu kepelbagaian genetik, boleh menjejaskan pemuliharaan burung hijrah jangka panjang.

Mikroorganisma marin memang berperanan memecahkan hidrokarbon melalui biodegradasi, tetapi kadar degradasi bergantung kepada suhu, saliniti dan oksigen. Jika proses ini perlahan, pencemaran boleh berlarutan dan kesan toksik berpanjangan.

Kini, ketegangan geopolitik di Teluk Parsi melibatkan Amerika Syarikat, Iran, Bahrain, Qatar dan UAE menimbulkan kebimbangan bahawa sejarah pencemaran akan berulang. Risiko tumpahan minyak, kebakaran telaga, malah pencemaran radioaktif tidak boleh ditolak.

Burung hijrah yang merentas laluan antarabangsa menjadi indikator kesihatan planet. Kerosakan genetik mereka adalah amaran keras kepada manusia tentang bahaya pencemaran kronik.

Peperangan Teluk membuktikan bahawa konflik bukan sahaja tragedi manusia, tetapi juga tragedi ekologi. Burung hijrah yang melintasi Siberia, India, Pakistan hingga ke Afrika adalah simbol jaringan kehidupan global.

Organisasi IUCN dan BirdLife International menekankan bahawa melindungi laluan migrasi adalah penting untuk pemuliharaan genetik dan keseimbangan ekosistem.

Malaysia sebagai negara yang turut berada dalam laluan migrasi burung pantai tidak boleh memandang ringan isu ini. Burung hijrah bukan sekadar makhluk kecil yang singgah di pantai, tetapi penanda aras kesihatan ekosistem dunia. Jika mereka musnah, ia memberi isyarat bahawa planet bumi sedang sakit.

Sejarah hitam Teluk 1991 harus menjadi pengajaran. Dunia mesti menolak peperangan yang meranapkan ekosistem dan negara-negara Teluk perlu memperkukuh usaha pemuliharaan ekosistem.

Malaysia pula harus mempergiat kajian saintifik, pemuliharaan tanah lembap, serta pendidikan awam agar masyarakat sedar bahawa setiap burung hijrah yang singgah adalah utusan alam yang membawa mesej tentang keseimbangan, kelestarian dan masa depan manusia.

Tragedi Teluk bukan sekadar sejarah, tetapi amaran. Jika konflik berulang, bukan sahaja minyak yang tumpah, tetapi juga harapan manusia untuk hidup dalam dunia yang seimbang. Burung hijrah yang terbang ribuan kilometer adalah saksi bisu kepada kesilapan manusia.

Persoalannya: Adakah kita akan biarkan sejarah hitam itu berulang, atau bangkit mempertahankan ekosistem demi generasi akan datang? – UTUSAN

DR. Ahmad Ismail ialah Felo Akademi Sains Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN