TANGKAK: Kerajaan diminta untuk bertindak tegas terhadap golongan yang enggan divaksin tanpa alasan kukuh sebagai usaha mencapai imuniti kelompok dengan lebih berkesan.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keengganan individu menerima vaksin adalah membimbangkan meskipun kadar itu hanya mencatatkan 10 peratus.
Menurut beliau, kumpulan berkenaan tanpa disedari berisiko menjadi penyebar sekali gus berpotensi merencatkan usaha kerajaan untuk memulihkan semula ekonomi.
“Kerajaan patut pertimbang (jika) jadikan sebagai mandatori apakah ada halangan sama ada dari segi perundangan atau perlembagaan atau melakukan apa cara sekalipun supaya golongan yang menolak ini dapat diberikan nasihat untuk menerimanya.
“Kalau mereka tidak menerima vaksinasi, mereka tak boleh guna MySejahtera. Sebab kalau ada aplikasi ini, dia akan sediakan sijil vaksinasi yang mana kita perlu imbas untuk masuk ke tempat-tempat tertentu.
“Jadi kalau mereka tiada sijil, mereka secara semula jadi sudah menafikan hak untuk mendapat kemudahan sama ada ke restoran, masjid, hotel atau di mana sekalipun kerana ia sudah jadi satu amalan biasa di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Pimpinan Tempatan di Dewan Serbaguna Bukit Gambir di sini hari ini.
Pada 12 Ogos lalu, Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memutuskan untuk mempertimbang mewajibkan suntikan vaksin secara mandatori sebaik sahaja kajian ke atas golongan yang menolak vaksin atau antivaksin selesai sepenuhnya.
Sementara itu beliau berkata, kerajaan sebelum ini tidak menguatkuasakan perkara berkenaan ekoran tertumpu kepada usaha pemberian vaksin dengan segera.
Namun katanya, sudah tiba masa untuk perkara itu diperhalusi berikutan ketika ini golongan yang masih tidak menerima vaksin kebanyakannya terpengaruh dengan berita tidak sahih yang disebarkan.










