PETALING JAYA: Enest Group Berhad (Enest) memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini, sekali gus menandakan lembaran baharu dalam usaha syarikat memperkukuh pengembangan perniagaan di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Saham Enest dibuka pada 13 sen sesaham, sama seperti harga tawaran awam permulaan (IPO), dengan sebanyak 15.56 juta saham diniagakan sejurus pasaran dibuka.
Dalam dagangan awal, saham syarikat bergerak antara 12 sen hingga 13.5 sen sebelum kembali stabil sekitar paras harga IPO.
Berdasarkan harga dagangan tersebut, Enest mencatatkan permodalan pasaran hampir RM70 juta, sekali gus mencerminkan nilai syarikat selepas disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Penyenaraian itu dijangka memperkukuh kedudukan Enest dalam industri serta menyediakan platform bagi syarikat memperluaskan operasi dan merebut peluang pertumbuhan baharu di dalam serta luar negara.
Ketua Pegawai Operasinya, Lok Chyi Yeu berkata, Enest merancang menggandakan kapasiti pengeluaran sarang burung menerusi pembinaan sebuah kilang baharu di Kajang yang dijangka mula beroperasi pada suku ketiga 2027.
Ujarnya, kilang baharu itu memerlukan tempoh sekurang-kurangnya setahun untuk kerja-kerja pengubahsuaian, pemasangan kemudahan serta mendapatkan permit dan lesen operasi selepas proses pengambilalihan diselesaikan.
“Kapasiti pengeluaran semasa syarikat adalah sekitar 18 tan setahun dan kilang baharu itu dijangka menambah kapasiti pengeluaran sebanyak 18 tan lagi, sekali gus menggandakan keupayaan pengeluaran Enest.
“Dengan gabungan kapasiti kilang sedia ada dan kilang baharu, kami akan mempunyai bekalan yang lebih mencukupi bagi memenuhi permintaan eksport yang semakin meningkat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Enest, Christopher Tan Yew Leong berkata, syarikat turut merancang meneroka pasaran baharu termasuk Kanada susulan pertanyaan yang diterima daripada pembeli di negara berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, Enest akan terus memberi tumpuan kepada pasaran eksport sedia ada, khususnya China yang kekal sebagai pasaran utama sarang burung dunia.
Mengulas kebimbangan terhadap bekalan bahan mentah, beliau berkata, syarikat tidak menjangkakan sebarang kekangan memandangkan Malaysia mempunyai jumlah rumah burung walit yang mencukupi selain banyak premis telah berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
“Kami tidak melihat sebarang masalah dari segi bekalan. Malaysia mempunyai banyak rumah burung walit dan bekalan bahan mentah ketika ini adalah stabil,” katanya.
Beliau berkata, kos perolehan sarang burung pada tahun ini juga kekal stabil, namun harga bahan mentah masih dipengaruhi oleh permintaan pasaran global.
Dalam pada itu, beliau mengakui, terdapat cabaran bagi pengusaha di Sarawak kerana penghantaran sarang burung ke Semenanjung Malaysia memerlukan permit kerja tambahan daripada kerajaan negeri, manakala operasi di Sabah berjalan seperti biasa.
Mengenai prospek industri, beliau berkata, permintaan global terhadap sarang burung dijangka terus berkembang sejajar dengan peningkatan pendapatan boleh guna pengguna serta kesedaran yang semakin tinggi terhadap manfaat kesihatan produk berkenaan.
“Permintaan bukan sahaja meningkat di pasaran luar negara, malah pasaran domestik turut menunjukkan perkembangan yang positif,” katanya.
Beliau berkata, syarikat akan terus melaksanakan strategi pertumbuhan dengan memperkukuh kedudukan pasaran serta membangunkan lebih banyak produk hiliran bernilai tambah bagi memenuhi keperluan pelanggan. – UTUSAN










