Felcra mula laksana syor penambahbaikan - PAC 

Felcra mula laksana syor penambahbaikan – PAC  

MAS Ermieyati Samsudin dalam sidang akhbar di Parlimen, hari ini. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Felcra Berhad mula melaksanakan syor penambahbaikan berhubung kelemahan pengurusan perolehan empat ladang sawit komersial, namun keberkesanan langkah itu masih belum dapat dibuktikan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, beberapa penambahbaikan telah dibuat iaitu mewajibkan laporan penilaian oleh perunding luar dibentangkan kepada Lembaga Pengarah serta menetapkan tempoh bertenang selama 15 hingga 30 hari sebelum perjanjian dimeterai.

“Bagaimanapun, PAC menegaskan pematuhan terhadap SOP baharu itu amat kritikal memandangkan keberkesanannya masih belum teruji kerana tiada pemerolehan aset komersial baharu dilaksanakan setakat ini,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, hari ini. 

Katanya, Felcra turut menyemak semula unjuran pulangan pelaburan (ROI) bagi empat estet komersial menggunakan andaian harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih realistik dan mengambil kira faktor umur pokok. 

“PAC menegaskan simulasi kewangan masa hadapan hendaklah dilaksanakan dengan mengintegrasikan analisis titik pulang modal (break-even analysis),” katanya.

Selain itu, katanya, PAC menyambut baik pelan pemulihan ladang kurang berdaya maju termasuk usaha mekanisasi, pemberian insentif khas dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing yang ketika ini masih mencecah 90 peratus.

Pada masa sama, jawatankuasa itu mengambil maklum keputusan Felcra menangguhkan sebarang pemerolehan baharu bank tanah komersial bagi mengurangkan beban kewangan dengan keutamaan diberikan kepada Program Tanam Semula Estet melibatkan peruntukan RM52 juta bagi kawasan seluas 1,846 hektar. 

“Bagi memperkukuh pengawasan organisasi, PAC turut menyambut baik langkah proaktif Kementerian Kewangan menggunakan sistem pelaporan GCAIS 2.0 untuk wakil kementerian yang menganggotai Lembaga Pengarah bagi melaporkan sebarang isu kritikal (red flags) secara terus dan segera,” katanya.

 Mas Ermieyati turut menegaskan Felcra perlu melaksanakan semua tindakan yang disyorkan serta mematuhi SOP dan keperluan berkanun bagi memastikan kelestarian pelaburan syarikat serta mengelakkan sebarang risiko kerugian pada masa hadapan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN