KUALA LUMPUR: Standard Chartered Global Research (SC Global Research) menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi global tahun ini kepada 3.0 peratus berbanding 3.4 peratus sebelum ini, susulan kesan konflik di Asia Barat yang memberi tekanan terhadap prospek ekonomi dunia.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan global berada dalam keadaan lebih stabil pada separuh kedua tahun ini, selepas risiko berkaitan konflik dilihat mencapai kemuncaknya.
“Kami kekal berhati-hati terhadap beberapa risiko yang masih berlarutan, termasuk ketidaktentuan berkaitan tempoh gencatan senjata serta pemulihan bekalan tenaga global.
“Pembukaan semula Selat Hormuz telah mengurangkan satu daripada halangan utama kepada pertumbuhan ekonomi, namun pemulihan aliran tenaga masih berdepan ketidakpastian,” katanya dalam nota penyelidikan.
Firma berkata, isu tarif Amerika Syarikat (AS) masih menjadi tekanan kepada ekonomi global.
“Walaupun perhatian terhadap tarif berkurangan sejak beberapa bulan kebelakangan ini berikutan konflik Asia Barat dan perdagangan global yang masih kukuh, pentadbiran AS terus meneruskan tindakan tarif Seksyen 301 terhadap beberapa rakan dagang serta memberi isyarat kemungkinan langkah tarif tambahan,” katanya.
Menurut SC Global Research, prestasi ekonomi dunia kekal lebih baik daripada jangkaan walaupun berdepan kejutan bekalan tenaga terbesar dalam sejarah.
“Asia, khususnya Asia Timur Laut, mencatat pertumbuhan kukuh setakat tahun ini didorong permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI), meskipun kira-kira 80 peratus eksport minyak melalui Selat Hormuz sebelum ini menuju ke rantau berkenaan.
“Kenaikan inflasi berlaku di beberapa ekonomi yang tidak melaksanakan subsidi atau kawalan harga, namun kebimbangan terhadap kelembapan pertumbuhan ekonomi serta kekurangan besar bekalan tenaga dan bahan industri masih belum menjadi kenyataan,” katanya.
Firma berkata, pembukaan semula Selat Hormuz turut mengurangkan risiko tindak balas pasaran yang lebih tidak terkawal akibat penyusutan rizab minyak.
“Walaupun pemulihan bekalan minyak dari Asia Barat boleh meningkatkan keyakinan pasaran, kesan tertangguh daripada kenaikan harga tenaga dijangka terus memberi tekanan terhadap pertumbuhan pada separuh kedua tahun ini,” katanya.
Menurut kajian tersebut, perjanjian damai semasa masih bersifat sementara dan sebarang perkembangan negatif di Selat Hormuz boleh mengembalikan risiko penurunan mendadak, terutama ketika rizab minyak global berada pada paras rendah.
“Dengan pemulihan aliran bekalan tenaga dari Asia Barat, bank pusat dijangka mempunyai lebih ruang untuk menganggap kejutan harga minyak sebagai bersifat sementara. Risiko peningkatan mendadak kos import minyak juga semakin berkurangan walaupun harga minyak kekal tinggi.
“Keadaan itu boleh membantu mengurangkan kebimbangan kestabilan mata wang bagi sesetengah bank pusat. Namun, pengukuhan dolar AS berikutan jangkaan kadar faedah AS yang lebih tinggi mungkin menyebabkan langkah pemotongan kadar faedah tidak kembali menjadi pilihan dalam masa terdekat,” katanya.
Bagi ekonomi maju utama, SC Global Research melihat pertumbuhan yang stabil tetapi tidak sekata.
“Unjuran pertumbuhan ekonomi AS bagi 2026 dikekalkan pada 2.3 peratus namun kadar pertumbuhan dijangka perlahan pada separuh kedua tahun ini apabila kesan perbelanjaan awal yang disokong pemulangan cukai mula berkurangan,” katanya.
Sementara itu, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) zon euro bagi 2026 telah diturunkan kepada 0.4 peratus daripada 1.1 peratus dipengaruhi oleh harga minyak yang lebih tinggi serta turun naik data ekonomi Ireland.
Namun, SC Global Research menjangkakan keadaan bertambah baik pada separuh kedua tahun ini disokong harga tenaga yang lebih rendah, syarat kredit lebih longgar dan dasar fiskal yang masih menyokong.
“Bagi China, tiada perubahan terhadap unjuran pertumbuhan 2026 yang kekal pada 4.6 peratus.
“Walaupun ekonomi negara itu memulakan tahun dengan prestasi kukuh, data terkini menunjukkan pertumbuhan mungkin susut di bawah 4.5 peratus pada suku kedua berbanding sasaran tahunan kerajaan sebanyak 4.5 peratus hingga 5.0 peratus,” katanya. – UTUSAN










