PETALING JAYA: EG Industries Berhad (EG Industries) menerusi anak syarikatnya, Genetronic (Malaysia) Sdn. Bhd. (GTR) memperoleh kerjasama projek pembuatan dan penjualan suis rangkaian terbuka berprestasi tinggi berasaskan teknologi optik hantaran bersama (CPO) bernilai AS$100 juta (RM440 juta).
EG Industries berkata, GTR telah memeterai Surat Hasrat (LOI) dengan sebuah pembekal penyelesaian rangkaian terbuka global yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dikenali sebagai ‘Pelanggan M’.
Katanya, kolaborasi tersebut dijangka menjana hasil ketara yang akan memperkukuh buku pesanan kumpulan serta meluaskan penglibatannya dalam pasaran kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan infrastruktur pusat data generasi seterusnya.
“Pelanggan M merupakan pakar global yang menyediakan suis Ethernet berprestasi tinggi untuk pusat data awan skala hiper (hyperscale) dan AI. Melalui kerjasama ini, EG Industries akan mengeluarkan suis rangkaian termaju yang direka untuk menyampaikan jalur lebar lebih tinggi, penggunaan kuasa lebih rendah serta kecekapan optimum bagi infrastruktur AI.
“Projek terbaharu ini menyusuli pesanan pembelian bernilai AS$241.6 juta yang diterima kumpulan baru-baru ini untuk Modul Optik 800G termaju dan produk jalur lebar wayarles, sekali gus memperkasa kehadiran EG Industries dalam ekosistem rangkaian AI yang lebih luas,” katanya dalam kenyataan.
EG Industries berkata, langkah pelaburan ini sejajar dengan strategi jangka panjang kumpulan untuk membina kepakaran dan keupayaan pembuatan dalam segmen teknologi rangkaian generasi baharu yang mula diterokai sejak 2022 melalui teknologi Linear Pluggable Optics (LPO) dan CPO.
Katanya, kumpulan menjangkakan pesanan pembelian tambahan untuk produk CPO akan terus menyusul seiring dengan perkembangan program pelanggan berikutan permintaan global yang semakin berkembang pesat terhadap penyelesaian rangkaian berlatensi rendah serta cekap tenaga.
Menurut kumpulan, urus niaga itu juga melengkapkan portfolio produk sedia ada serta pelan pembesaran kapasiti pengeluaran masa hadapan syarikat yang sedang rancak dilaksanakan ketika ini.
“Peluang perniagaan bagi LPO dan CPO ini disokong oleh pelaburan berterusan kumpulan dalam kapasiti pengeluaran di Kilang Pintar 4.0 Batu Kawan serta pelaburan strategik di Thailand, termasuk pembangunan kemudahan pembuatan baharu dan pengukuhan kedudukan dalam N.D. Rubber Public Company Limited (NDR).
“Penglibatan GTR dalam projek ini disatukan sebagai anak syarikat kumpulan di bawah EG Operations Sdn. Bhd. memandangkan EG Industries mempunyai kawalan penuh ke atas keputusan dasar kewangan dan operasi GTR,” katanya.
Syarikat turut menjangkakan kolaborasi strategik terbaharu ini akan menyumbang secara positif kepada perolehan disatukan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 2027 dan 2028 hasil daripada penyerahan kontrak produk berkenaan. – UTUSAN










