Mengaku terima suapan, bekas pengarah urusan didenda RM145,000

Mengaku terima suapan, bekas pengarah urusan didenda RM145,000

CHEUNG Wing Shing (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen 2 Kuantan selepas mengaku bersalah menerima suapan daripada dua individu berbeza sejak 2019, di Kuantan, Pahang. - FOTO/ DIANA SURYA ABD. WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang bekas pengarah urusan syarikat mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan pada Julai 2019 dan Januari tahun lalu.

Tertuduh, Cheung Wing Shing, 60, yang merupakan warganegara Singapura didenda RM145,000 selepas membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima suapan RM26,850 daripada seorang pengurus syarikat melalui pindahan wang secara dalam talian pada 23 Julai 2019 ke akaun syarikatnya. 

Ia sebagai balasan kepada tertuduh kerana melantik syarikat itu sebagai kontraktor projek pembekalan peralatan dapur di sebuah restoran bernilai RM2 juta, yang mana tertuduh mempunyai akses kepada proses pemilihan kontraktor untuk kerja terbabit.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan RM7,000 melalui pindahan wang secara dalam talian pada 14 Januari 2020 daripada seorang pengarah syarikat bagi pembayaran kerugian perjudian.

Untuk dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (2) Akta sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala peguam Datuk Joshua Kevin pula mewakili tertuduh.

Dalam rayuannya, Joshua meminta mahkamah mempertimbangkan jumlah denda dikenakan dengan mengambil kira keadaan kesihatan tertuduh dan kerjasama diberikan sepanjang proses siasatan.

“Tertuduh sudah dikenakan perintah reman selama enam hari sebelum ini, selain tertuduh juga seorang dermawan dan sudah banyak membantu orang yang dalam kesusahan ketika kegawatan ekonomi akibat penularan Covid-19 sejak tahun lalu,” katanya.

Wan Shaharuddin meminta mahkamah menetapkan kadar denda bersesuaian sebagai tanda ketegasan SPRM dalam menangani isu rasuah di negara ini.

“Sejak akhir ini, banyak blog dan akaun media sosial seperti Twitter yang cuba menjadi pejuang untuk rasuah… mereka ini asyik hentam SPRM dan polis walaupun tidak ada bukti. Jadi, mahkamah perlu menetapkan keputusan supaya keputusan itu nanti membuktikan bahawa SPRM benar-benar serius dalam menangani isu rasuah,” katanya.

Sementara itu, mahkamah menetapkan jumlah denda RM85,000 atau penjara 10 bulan bagi pertuduhan pilihan pertama dan denda RM60,000 atau enam bulan penjara untuk pertuduhan pilihan kedua.

Tertuduh membayar denda yang ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.