Masalah penduduk diambil kira dalam isu parkir bertingkat Presint 8  - Utusan Malaysia

Masalah penduduk diambil kira dalam isu parkir bertingkat Presint 8 

JALALUDDIN Alias ketika sesi tinjauan tapak cadangan pembinaan parkir bertingkat di Blok C, Fasa 4B, Presint 8, Putrajaya. – UTUSAN/ FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kemelut isu pembinaan parkir bertingkat di Blok C, Presint 8 di sini berakhir apabila Kementerian Wilayah Persekutuan sedia mengambil kira setiap masalah penduduk.

Jaminan itu disuarakan Timbalan Menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias selepas sesi ‘turun padang’ bertemu sendiri penduduk di kuarters berkenaan bagi mendengar masalah mereka.

Malah, walaupun mulanya situasi agak tegang dengan ramai berkeras membantah, namun akhirnya mereka bersetuju dan berpuas hati menerima penjelasan tuntas daripada beliau.

“Setelah mengadakan mesyuarat dengan beberapa pihak berkaitan, kita memutuskan untuk meneruskan projek ini, namun dengan mengambil kira pelbagai faktor dibangkitkan,” katanya.

Terdahulu, beliau diiringi Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Muhammad Azmi Mohd. Zain turut meninjau sendiri keadaan tapak dicadangkan dan bertemu penduduk di situ.

Beliau bahkan tekun mendengar tuntutan yang disuarakan terus oleh Pengerusi Persatuan Penduduk Blok C Fasa 4B, Bakhtiar Anuar Md. Amin dan melihat pelan cadangan pembinaan.

Isu ini pernah disiarkan Mingguan Malaysia pada 26 September dan kemudian menerima maklum balas pihak PPj menerusi laporan eksklusif Utusan Malaysia pada 29 September lalu.

Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, sebelum projek itu dimulakan, PPj akan membina 44 petak parkir sementara terbuka serta laluan pejalan kaki berbumbung ke Blok C. 

“Begitu juga laluan akses khas orang kurang upaya (OKU), warga emas serta wanita hamil akan dibina PPj selepas saya dengar keluhan mereka yang bimbang nasib diabaikan,” katanya.

Beliau malah memberi jaminan sepanjang tempoh selama 30 bulan, tiada kerja pembinaan dibenarkan selepas pukul 6 petang dengan pematuhan akan dipantau rapi oleh pihak PPj.

Justeru jelasnya, jika berlaku pelanggaran oleh pihak pemaju projek itu, para penduduk boleh mengajukan aduan terus kepada beliau menerusi talian aplikasi WhatsApp disediakannya.

Pada masa sama, beliau berjanji projek itu tidak menyusahkan penduduk dan memahami rungutan mereka kerana ia bagi mengatasi isu kesesakan parkir untuk jangka masa panjang.

Bahkan apabila disiapkan kelak, penduduk akan ada tambahan 114 parkir kereta, 61 parkir motosikal dan dua parkir Orang Kelainan Upaya (OKU) berbanding ketika ini kawasan itu cuma 230 parkir yang tidak cukup bagi keperluan kesemua 360 unit Fasa 4B.

“Insya-Allah, tapak parkir sementara itu yang menghadap Lebuh Sentosa pula akan diubah menjadi kawasan kekal taman permainan kanak-kanak selepas projek ini siap nanti,” jelasnya.

Projek parkir setinggi dua setengah tingkat dengan kos RM5 juta itu berkeluasan 1,444 meter persegi dan sudah dirancang pembinaannya oleh pihak kementerian berkenaan sejak 2018.

Kuarters penjawat awam Fasa 4B merupakan perumahan kakitangan kerajaan yang tidak boleh dijual dan diletak di bawah Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri.

Ia merupakan antara penempatan pertama yang diwujudkan di Putrajaya sejak tahun 2000 lalu bagi penjawat awam selepas Wilayah Persekutuan ketiga itu dibuka pada 1995 lepas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya