Cipta 4: M. Nasir, Melly Goeslaw gegar Unifi Arena Julai ini - Utusan Malaysia

Cipta 4: M. Nasir, Melly Goeslaw gegar Unifi Arena Julai ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Konsert Cipta 4 bakal melakar sejarah apabila buat julung kalinya menggabungkan dua nama besar arena muzik nusantara, Datuk M. Nasir dan Melly Goeslow di pentas berprestij Unifi Arena, 4 Julai ini.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang gembira kerana hasrat menggabungkan ikon muzik tersohor dua negara akhirnya tercapai.

“Salah seorang artis jemputan ialah pencipta lagu tersohor Indonesia dan kita gabungkan satu pentas bersama M. Nasir.

“Beliau tidak pernah disatukan dengan Melly Goeslaw, baik secara ‘on air’ atau ‘off air’. Jadi inilah keistimewaan Cipta 4 apabila menghimpunkan dua komposer hebat rantau ini.

“M Nasir menghasilkan 3,000 lagu dan Melly 700 lagu. Jadi sebagai promoter, kami bukan sekadar memilih tarikh dan lagu, tetapi memastikan persembahan ini mencapai standard tersendiri,” katanya.

Iman berkata demikian pada sidang media yang diadakan sepanjang perjalanan menuju ke Ipoh, Perak menaiki Keretapi Tanah Melayu pagi tadi.

M Nasir memaklumkan perancangan diatur bersama penganjur bagi memastikan penganjuran konsert berskala mega itu berjalan lancar.

“Konsep persembahan sudah diperhalusi bersama Iman. Selepas berbincang, saya semuanya berjalan lancar.

“Masyarakat mahukan keaslian, jadi saya harap persembahan dibawakan nanti memenuhi kehendak peminat,” katanya.

Sementara itu, Melly meluahkan rasa teruja kerana berpeluang beraksi satu pentas dengan seniman bergelar sifu itu, selain mengharapkan gandingan mereka diterima baik peminat.

“M Nasir nama besar. Berkongsi satu pentas dengan beliau merupakan satu penghormatan buat saya.

“Saya suka lagu M Nasir, malah banyak karya beliau hit di Indonesia. Selain menyanyi bersama, saya juga berharap dapat mengubah lagu bersama beliau,” katanya.

Konsert bertemakan Batik Injection itu bakal menyaksikan lebih 30 lagu M. Nasir dipersembahkan.

Tiket berharga antara RM238 hingga RM588 akan mula dijual pada 24 April ini menerusi platform www.ticket2u.com.my.
-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN