PADANG BESAR: Seorang lelaki warga asing yang memiliki 23 tunggakan saman ditahan polis menerusi Operasi Saman Tertunggak Warga Asing (OTSWA) yang dilaksanakan di hadapan hentian bas Padang Besar di sini hari ini.
Menerusi penahanan lelaki berusia lingkungan 30 an itu, polis berjaya mengutip semua tunggakan samannya berjumlah RM4,520.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, daripada 23 saman berkenaan, 10 daripadanya adalah melibatkan kesalahan syarat patuh permit, 12 kesalahan mengabai lampu isyarat dan selebihnya membabitkan lain-lain kesalahan.
“Lelaki itu dipercayai kerap berulang-alik masuk ke negara ini atas urusan perniagaan dan polis bagaimanapun melepaskannya selepas dia membayar semua tunggakan saman berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, hari ini.
Mohd Shokri berkata, menerusi operasi dijalankan selama tiga hari itu, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan ke atas 380 buah kenderaan warga asing pelbagai jenis.
Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 143 saman pelbagai kesalahan telah dikeluarkan bagi tindakan penyelesaian oleh pihak terlibat.
“Jumlah kompaun yang berjaya dikutip selama tiga hari operasi ini dijalankan adalah berjumlah RM24,960. Dalam masa sama, operasi ini turut mengesan pelbagai kesalahan trafik dan sejumlah 77 saman telah dikeluarkan,” katanya.
Mohd Shokri berkata, polis juga akan bertindak menahan mana-mana warga asing yang dikesan mempunyai tunggakan saman sehingga pihak terlibat menyelesaikan bayaran tersebut.
Katanya, kaunter pertanyaan turut disediakan bagi memudahkan warga asing menyemak dan menyelesaikan tunggakan saman mereka di mana-mana balai berhampiran.
“Polis Daerah Padang Besar turut menggalakkan masyarakat melaporkan sebarang aktiviti pelanggaran undang-undang jalan raya melalui balai berhampiran atau melalui laman media sosial rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar,” katanya.-UTUSAN










