fbpx

30 November 2021, 11:09 am

  TERKINI

Lima premis, gudang makanan kurang bersih diarah tutup

DR. OTHMAN WARIJO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengarahkan lima premis dan sebuah gudang makanan di pulau peranginan ini menutup operasi selama 14 hari kerana tahap kebersihan yang rendah.

Arahan tersebut dikeluarkan dalam operasi Ops Helang yang dilakukan selama empat hari bermula 22 Oktober lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Othman Warijo berkata, operasi itu adalah susulan peningkatan jumlah pelancong tempatan serta menjelang pelancaran Projek Rintis Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi.

Katanya, ia melibatkan penguatkuasaan Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). 

“Sebanyak 139 premis telah diperiksa dan daripada jumlah itu, lima premis diarah tutup kerana tahap kebersihan rendah manakala sebuah gudang makanan diarah tutup kerana terdapat infestasi tikus.

“Kesemua premis yang diarah tutup diberi tempoh 14 hari untuk melakukan kerja-kerja pembersihan mengikut Seksyen 10 dan 11 Akta Makanan 1983,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, sekiranya pengusaha premis telah mematuhi kesemua arahan pembersihan, mereka boleh memohon kepada pegawai diberi kuasa untuk memeriksa semula premis sebelum dibenarkan kembali beroperasi.

Sementara itu, katanya, sebanyak 73 notis dikeluarkan melibatkan pengendali makanan dan kebersihan premis makanan dengan jumlah kompaun bernilai RM21,250 di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Sebanyak 18 notis kompaun berjumlah RM36,000 turut dikeluarkan kepada pemilik premis yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) apabila gagal mempamerkan notis penerimaan pelanggan lengkap vaksinasi dan tidak bergejala sahaja di pintu masuk premis ” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya mengeluarkan 20 notis kesalahan merokok di kawasan larangan di sekitar Langkawi dengan jumlah nilai tawaran kompaun sebanyak RM5,000.

“Dua kompaun masing-masing dikenakan di premis makanan dan kompleks membeli belah, enam di Terminal Penumpang Feri Kuah dan 10 di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi,” katanya. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI