BIMB Investment lancar Dana BOF, sasar potensi syarikat bermodal kecil - Utusan Malaysia

BIMB Investment lancar Dana BOF, sasar potensi syarikat bermodal kecil

SHARIFAH Sarah Syed Mohamed Tahir (dua dari kiri) ketika majlis pelancaran BIMB Opportunities Fund (BOF) di Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: BIMB Investment Management Berhad (BIMB Investment) melancarkan BIMB Opportunities Fund (BOF), sebuah dana ekuiti patuh Syariah yang diurus secara aktif untuk membuka potensi pertumbuhan syarikat bermodal kecil di Malaysia.

Strategi pelaburan dana terbaharu itu direka khusus bagi memfokuskan kepada usaha menjana peningkatan modal bagi jangka masa sederhana hingga panjang.

Menerusi dana ini, minimum 70 peratus daripada nilai aset bersihnya (NAV) akan dilaburkan dalam sekuriti ekuiti patuh Syariah atau sekuriti berkaitan ekuiti, manakala sekurang-kurangnya satu peratus lagi diuruskan dalam bentuk tunai dan deposit Islam.

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Perbankan Institusi Bank Islam, Sharifah Sarah Syed Mohamed Tahir berkata, pengenalan BOF amat bertepatan dalam landskap pasaran semasa yang tidak menentu bagi membolehkan pelabur mempelbagaikan portfolio melangkaui instrumen tradisional.

“Ekuiti syarikat bermodal kecil menawarkan akses kepada peluang pertumbuhan baharu yang sering kurang diberi perhatian di pasaran.

“Dana ini direka untuk mengimbangi antara potensi pulangan yang tinggi dengan pengurusan risiko yang berhemat, sekali gus membolehkan pelabur membina nilai jangka panjang yang mampan,” katanya dalam kenyataan. 

Tambah Sharifah Sarah, BOF mengintegrasikan strategi pelaburan aktif yang menggabungkan pendekatan atas ke bawah dan bawah ke atas.

“Pada peringkat makroekonomi, dana ini menilai petunjuk utama seperti pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar faedah, inflasi, pergerakan mata wang dan dasar kerajaan di Malaysia serta pasaran global utama.

“Bagi peringkat mikroekonomi pula, fokus diberikan kepada perniagaan kecil yang sedang berkembang dan mempunyai potensi kukuh serta model perniagaan berskala, walaupun syarikat tersebut mungkin mempunyai rekod prestasi atau liputan penganalisis yang terhad,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kebolehaksesan pelaburan, Sharifah Sarah berkata, BOF ditawarkan sebagai dana bersifat terbuka dalam denominasi Ringgit Malaysia (RM) dengan pelaburan permulaan minimum serendah RM500, manakala pelaburan tambahan bermula daripada RM200.

Pelabur boleh melanggan dana ini di seluruh negara melalui Pengurus Perhubungan di mana-mana cawangan Bank Islam, dengan khidmat nasihat khusus disediakan untuk pelabur.

Dengan pelancaran terbaharu ini, anak syarikat Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) itu kini menguruskan keseluruhan 17 dana pelaburan termasuk mandat persendirian. 

Jumlah itu merangkumi tujuh dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) patuh Syariah dengan nilai keseluruhan aset di bawah pengurusan (AUM) mencecah RM1.7 bilion setakat 30 April 2026. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN