PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka berdepan kesukaran untuk terus bertahan dalam persaingan politik negara sekiranya Pas keluar daripada gabungan sedia ada.
Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, kekuatan sebenar Bersatu ketika ini banyak disokong oleh jaringan akar umbi Pas yang lebih luas dan tersusun di seluruh negara.
Menurutnya, tanpa sokongan tersebut, Bersatu tidak memiliki kekuatan asas yang cukup kukuh untuk bergerak secara solo dalam menghadapi persaingan politik yang semakin sengit.
“Kemenangan Bersatu dalam pilihan raya sebelum ini banyak dipengaruhi sokongan pengundi Pas yang memberikan kesan signifikan terutama di beberapa kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
“Kekuatan Pas bukan sahaja pada jumlah pengundi, tetapi juga pada jentera pilihan raya yang tersusun dan berkesan hingga ke peringkat akar umbi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, media melaporkan keputusan sama ada PAS akan terus bekerjasama dengan Bersatu atau sebaliknya dijangka diketahui Isnin ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata sebelum ini, Majlis Syura Ulama Pas sudah bermuzakarah mengenai isu berkenaan dan menyerahkan kepada jawatankuasa pusat parti itu untuk menentukan tindakan yang wajar diambil.
Katanya, perkara tersebut serta isu lain akan dibincangkan oleh badan tersebut lusa.
“Isnin ini insya-Allah akan bincang semua,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah duha mingguan di Marang, Terengganu.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, jika kerjasama antara Bersatu dan Pas berakhir, parti itu dijangka kehilangan kelebihan besar yang selama ini membantu memperkukuh kedudukan mereka dalam pilihan raya.
Keadaan itu, katanya, akan menyebabkan Bersatu hanya bergantung kepada kekuatan dalaman parti sendiri yang dilihat belum cukup besar untuk menyaingi gabungan utama seperti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Tanpa Pas, Bersatu berisiko menjadi parti yang sukar memberi impak besar dalam pilihan raya serta berdepan cabaran untuk mempertahankan kerusi sedia ada,” katanya. – UTUSAN










