PETALING JAYA: Petronas dan Eni mengumumkan penubuhan Searah, sebuah usaha sama 50:50 yang menggabungkan aset-aset terpilih kedua-dua syarikat di Malaysia dan Indonesia bagi memperkukuh keselamatan tenaga serantau serta menjana nilai jangka panjang.
Searah yang untuk beroperasi sebagai entiti bebas, menyediakan platform yang lebih fokus bagi meningkatkan prestasi operasi dan mempercepatkan penciptaan nilai, sejajar dengan usaha berterusan Petronas untuk mengoptimumkan portfolionya dan meneroka peluang pertumbuhan baharu.
Melalui penggabungan aset-aset terpilih di Malaysia dan Indonesia, Petronas dan Eni berjaya mewujudkan sinergi dalam portfolio, kepakaran teknikal dan pemahaman serantau.
Pendekatan ini membolehkan skala yang lebih besar, pelaksanaan yang lebih berkesan dan penyampaian nilai yang lebih kukuh.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, penubuhan Searah sejajar dengan tumpuan Petronas yang semakin dipertingkat terhadap disiplin yang lebih tinggi dalam pembangunan sumber, penggunaan modal yang lebih tangkas serta penekanan yang lebih kukuh terhadap penciptaan nilai berterusan merentasi rantaian nilai gas.
“Dengan memanfaatkan portfolio dan keupayaan pelengkap antara Petronas dan Eni, Searah dijangka membawa kedalaman operasi, ketahanan kewangan dan kapasiti pertumbuhan kedua-dua rakan kongsi dalam memenuhi keperluan tenaga rantau ini secara boleh dipercayai dan bertanggungjawab, sambil menyumbang kepada keselamatan bekalan tenaga jangka panjang di Indonesia dan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Eni, Claudio Descalzi berkata, Searah mencerminkan strategi satelit yang telah terbukti berkesan bagi membangunkan perniagaan yang fokus dan berkualiti tinggi yang mampu menggabungkan skala, kecekapan dan pertumbuhan.
“Ia didorong oleh kecemerlangan kami dalam penerokaan dan pelaksanaan projek, serta tumpuan berterusan terhadap teknologi dan inovasi.
“Searah merupakan entiti baharu yang kukuh di Asia Tenggara yang pertama dan terbesar seumpamanya di rantau ini menggabungkan kepakaran kami dengan Petronas untuk menyokong pembangunan sumber tenaga di Indonesia dan Malaysia, dengan komitmen yang tinggi terhadap perlindungan alam sekitar dan pertumbuhan komuniti tempatan,” katanya.
Penubuhan itu adalah susulan kepada Memorandum Persefahaman (MoU) yang diumumkan pada Februari 2025 serta pemeteraian Perjanjian Pelaburan yang diumumkan pada 3 November 2025.
Semua kelulusan kawal selia, kerajaan dan rakan kongsi yang diperlukan telah diperoleh.
Dengan portfolio yang merangkumi 19 aset pengeluaran dan pembangunan gas, 14 di Indonesia dan lima di Malaysia, Searah memulakan operasinya dengan pengeluaran awal sekitar 300,000 tong setara minyak sehari (boe/d) dan mensasarkan pengeluaran mampan melebihi 500,000 boe/d dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Searah turut disokong oleh kemudahan kredit pusingan bernilai AS$6 bilion, dengan saluran pelaburan yang dijangka berjumlah AS$20 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang, tertakluk kepada kelulusan kawal selia yang berkaitan.
Pelaburan ini akan menyokong pembangunan lebih daripada 3 bilion tong setara minyak (boe) sumber yang telah ditemui serta membuka potensi penerokaan tambahan.-UTUSAN










