MANILA: Angka korban akibat gempa bumi kuat 7.8 magnitud yang melanda selatan Filipina meningkat kepada sekurang-kurangnya 19 orang, manakala lebih 100 lagi dilaporkan cedera, menurut pegawai agensi bencana.
Gempa bumi itu melanda perairan berhampiran pulau selatan Mindanao pada Isnin menyebabkan bangunan runtuh serta mencetuskan amaran tsunami di seluruh rantau berkenaan.
Beberapa gegaran susulan kuat dilaporkan berlaku kira-kira dua jam selepas gempa pertama, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), dengan gegaran terbesar direkodkan pada 6.5 magnitud.
Video yang dimuat naik di media sosial dan disahkan AFP menunjukkan sebuah pusat beli-belah yang menempatkan restoran makanan segera Jollibee runtuh menjadi timbunan runtuhan di Bandar General Santos, manakala sebuah bangunan di kampus sekolah tempatan turut dilaporkan roboh.










