fbpx

8 Disember 2021, 11:50 am

  TERKINI

Landasan 130 tahun jadi tarikan pelancongan

MARY Josephine Prittam Singh (dua dari kiri) dan Shamaruddin (kanan) menunjukkan landasan keretapi lama berusia 130 tahun di Kampung Chedang, Seremban yang akan dijadikan satu produk pelancongan. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Landasan kereta api lama berusia 130 tahun yang terletak di Kampung Chedang, di sini bakal dibangunkan semula sebagai tarikan pelancongan baharu di daerah ini.

Ketua Unit Pelancongan Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Shamaruddin Saidin berkata, dikenali sebagai Rahang Historical Rail Tourism, produk pelancongan itu dijangka siap sepenuhnya awal tahun depan.

Tambahnya, lokasi tersebut mempunyai nilainya yang tersendiri kerana melibatkan sejarah pengangkutan terpenting di daerah ini sejak 1891.

“Lokasi ini dipasang papan tanda sejarah, replika dan maklumat lengkap yang memudahkan pelancong.

“Landasan kereta api bersejarah yang melibatkan laluan Seremban-Port Dickson ini akan menjadi lokasi pelancongan berasaskan komuniti dan diharap menjadi satu daya tarikan pelancongan ke Seremban,” katanya  pada program Gotong-Royong ‘Rahang Historical Rail Tourism 2021’ di Kampung Chedang, di sini hari ini.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rahang, Mary Josephine Prittam Singh.

Shamaruddin berkata, landasan kereta api sepanjang 100 meter yang  ditutup pada 2008 itu sebelum ini menjadi sebahagian daripada laluan kereta api sepanjang 40 kilometer yang menghubungkan Seremban dan Port Dikcson bagi tujuan mengangkut bijih timah, kain sutera dan kopi.

Ia adalah laluan kereta api kedua di Malaysia selepas  Kuala Sepetang hingga Taiping di Perak yang merupakan laluan kereta api bersejarah dan penting semasa era penjajahan British.

Sementara itu, Mary Josephine berkata, dia berbesar hati dengan program gotong royong membersihkan landasan keretapi tersebut yang disifatkan beliau sebagai satu khazanah yang perlu dipulihara. – UTUSAN ONLINE 

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI