GEORGE TOWN : Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyasarkan penggunaan air domestik per kapita dapat dikurangkan kepada 250 liter sehari tahun ini menerusi kempen penjimatan air yang dipergiatkan di seluruh Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, sasaran itu dilihat realistik selepas menyaksikan kadar penggunaan air domestik menunjukkan penurunan ketara dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut beliau, kadar penggunaan air domestik per kapita di Pulau Pinang mencatatkan 307 liter sehari pada tahun 2022 sebelum meningkat sedikit kepada 308 liter sehari pada tahun berikutnya, namun, turun mendadak kepada 261 liter per kapita sehari, tahun lepas.
“Penurunan ini berlaku hasil usaha bersama pelbagai pihak termasuk NGO (pertubuhan bukan kerajaan) seperti Water Watch Penang dan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam meningkatkan kesedaran pengguna mengenai kepentingan penjimatan air,” katanya sempena sambutan Hari Air Sedunia 2026 di USM, hari ini. Hadir sama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Pathmanathan berkata, walaupun terdapat penurunan penggunaan air ketika ini, namun, kadar penggunaan domestik di Pulau Pinang masih dianggap tinggi berbanding purata kebangsaan iaitu sebanyak 225 liter per kapita sehari.
Menurut beliau, pengguna domestik di negeri itu menggunakan sebanyak 482 juta liter sehari daripada keseluruhan penggunaan air sebanyak 865 juta liter sehari pada tahun lalu.
“Ini menunjukkan bahawa lebih separuh penggunaan air di Pulau Pinang datang daripada sektor domestik dan sebab itu kerjasama pengguna amat penting dalam memastikan bekalan air sentiasa mencukupi,” katanya. – UTUSAN










