Ketatkan semula kawalan terhadap cecair nikotin, vape - Utusan Malaysia

Ketatkan semula kawalan terhadap cecair nikotin, vape

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengetatkan semula kawalan terhadap cecair nikotin dan produk vape selain memberi keutamaan kepada perlindungan generasi muda berbanding kepentingan hasil cukai.

Pengerusi Lajnah Kesihatan Pas Pusat, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, langkah itu termasuk memperkukuh penguatkuasaan terhadap penjualan vape kepada remaja dan pelajar sekolah serta menggubal dasar kawalan tembakau dan vape yang lebih tegas, konsisten dan berasaskan bukti saintifik.

“Kerajaan juga perlu mendengar pandangan pakar kesihatan awam serta badan profesional sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan kesihatan rakyat.

“Kesihatan rakyat bukan komoditi untuk diperdagangkan. Masa depan generasi muda Malaysia tidak boleh dipertaruhkan demi keuntungan industri atau percukaian jangka pendek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Yunus, Lajnah Kesihatan Pas Pusat menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan tindakan menyahsenarai cecair nikotin daripada Senarai Racun pada 2023 adalah tidak sah serta bercanggah dengan prinsip perundangan dan kepentingan kesihatan awam.

Katanya, keputusan itu menunjukkan dasar kesihatan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa atau didorong pertimbangan ekonomi dan percukaian semata-mata.

“Ini kerana mahkamah mendapati langkah berkenaan dibuat atas faktor ekonomi bagi membolehkan cukai dikenakan ke atas produk vape dan rokok elektronik.

“Mahkamah turut mendapati proses konsultasi dengan Lembaga Racun tidak dilakukan secara bermakna walaupun badan itu secara sebulat suara membantah cadangan penyahsenaraian nikotin cecair berkenaan,” katanya.

Ahmad Yunus berkata, penyahsenaraian nikotin telah membuka ruang kepada penularan budaya vape dalam kalangan anak muda apabila tempoh kekosongan kawal selia hampir 17 bulan menyebabkan produk berasaskan nikotin lebih mudah diakses termasuk oleh golongan bawah umur.

Katanya, nikotin merupakan bahan ketagihan yang memberi kesan besar terhadap perkembangan otak remaja, kesihatan mental, fungsi paru-paru serta berpotensi menjadi pintu masuk kepada ketagihan lain.

“Dalam keadaan negara berdepan peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) dan kos rawatan kesihatan yang semakin tinggi, tindakan melonggarkan kawalan terhadap nikotin adalah langkah yang amat tidak bertanggungjawab,” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan tindakan Menteri Kesihatan dan kerajaan yang mengecualikan cecair dan gel rokok elektronik daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952 adalah tidak rasional.

Hakim Datuk Aliza Sulaiman membuat keputusan itu selepas mendapati pengecualian yang dimasukkan dalam Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023 dibuat tanpa rundingan sewajarnya dengan Lembaga Racun.

Beliau berkata, keputusan mengecualikan cecair dan gel nikotin bagi rokok elektronik daripada kawalan Akta Racun dibuat lebih menjurus kepada faktor ekonomi susulan cadangan pengenaan duti eksais terhadap produk berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN