JOHOR BAHRU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN) memperuntukkan RM17.97 juta bagi menyelenggara kemudahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, bantuan yang disalurkan melalui Program Penyenggaraan Perumahan (PPP) itu melibatkan 57 projek penyelenggaraan sejak 2023 hingga kini.
“Daripada jumlah itu, RM1.91 juta telah dikhususkan untuk PPR Desa Mutiara bagi pelaksanaan enam projek penyelenggaraan utama termasuk penggantian paip kumbahan dan pembaikan handrail dan penggantian salur paip air hujan.
“Inisiatif ini merupakan langkah proaktif Kerajaan Madani dalam menangani isu-isu kritikal yang dihadapi penduduk, merangkumi aspek keselamatan, kebersihan dan keselesaan persekitaran kediaman,” katanya selepas melawat PPR Desa Mutiara, di sini hari ini.
Dalam lawatan tersebut, Aiman Athirah turut menyempurnakan pelancaran ‘Program Sinergi Kasih Madani: Komuniti Lestari dan Selamat’.
Beliau berkata, penganjuran program ini merupakan manifestasi sokongan berterusan kementerian dalam memupuk keharmonian komuniti yang turut diperkasakan melalui inisiatif Pusat Komuniti Sifar Sisa (KOSIS) di bawah seliaan SWCorp.
“Sejak diperkenalkan pada Mac 2020, inisiatif bermatlamat sifar sisa di PPR Desa Mutiara ini telah mencatatkan kejayaan memberangsangkan dengan pengumpulan 32,790.07 kilogram barangan kitar semula yang mencecah nilai jualan RM15,652,” ujarnya. – UTUSAN










