PETALING JAYA: Pelakon, Zila Bakarin mengakui dirinya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menghina atau membuli anak-anaknya, Kaseh Azri dan Chinta Azri.
Menurut Zila, anak-anaknya suatu ketika dahulu tidak menerima layanan yang baik dan tiada kawan sehingga terpaksa menukar sekolah beberapa kali gara-gara membawa gelaran ‘anak artis’.
“Biar orang hina saya, tapi bukan anak-anak saya. Saya tidak kaya harta, saya kaya anak-anak yang beradab, merendah diri dan hormat orang tak kira siapa.
“Tapi sebenarnya orang tidak suka mereka macam itu. Akhirnya di sekolah mereka bersendirian tanpa kawan. Anak-anak saya selalu menangis. Satu perkataan mereka, ‘Kami tak minta dipilih, tapi cukuplah terima kami.’ Kalau awak, apa awak rasa?,” katanya di Threads
Zila berkata demikian selepas seorang pengguna akaun memuji kesungguhannya sebagai seorang ibu membela nasib anak-anaknya yang pernah dibuli oleh seorang guru di sekolah.
Dalam masa sama, pelakon drama Luruhnya Bunga Cinta itu bersyukur apabila kedua-dua cahaya matanya kekal menjaga adab mereka meskipun menerima layanan yang tidak setimpal.
“Tapi anak-anak saya sangat baik sebab mereka tak pernah berdendam. Mereka cakap pada saya, ‘Kami maafkan semua. Bukan rezeki kami untuk dipandang dan dihargai.’
“Saya selalu ingatkan anak-anak, kita kena jadi orang baik sebab orang baik Allah jaga. Jadi Allah dah pilih yang terbaik untuk kita.
“Alhamdulillah, rezeki saya mempunyai anak-anak yang tidak pernah sekali meninggikan suara atau membantah. Sebab itu saya sedih bila orang buat anak saya macam itu.
“Terima kasih tuan sebab sudi membaca apa yang saya pendamkan. Semua orang marah dan kecam saya bila saya buat kenyataan sebegitu,” jelasnya.
Terdahulu, Zila menerusi sebuah sesi audio siar yang dikendalikan oleh Yasmin Hani dan Catriona Rose mendedahkan anak-anaknya, Kaseh Azri dan Chinta Azri pernah dibuli secara mental dan emosi.
Kata Zila, perbuatan membuli tersebut bukan daripada kalangan rakan sebaya, sebaliknya dari seorang guru yang sering mengkritik fizikal anaknya di sekolah.










