Kerani rugi RM41,500 terpedaya permainan dalam talian

Kerani rugi RM41,500 terpedaya permainan dalam talian

JIMMY Puah Wee Tsee (kanan) bersama Wong menunjukkan laman permainan mencari kerja secara dalam talian di Pusat Khidmat DUN Bukit Batu, Kulai, Johor. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Niat seorang gadis yang ingin mencari pekerjaan sambilan bagi menambah pendapatan bertukar mimpi ngeri apabila dia mengalami kerugian RM41,500.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Wong berkata, dia ternampak peluang kerja kosong itu ketika melayari Facebook dan menekan pautan yang membawa ke sebuah aplikasi permainan dalam talian pada Rabu lalu. 

Wong, 24, berkata, dia pada awalnya tidak menyangka permainan itu sebagai ‘scam’ kerana tertarik dengan komisen yang akan diperolehi selain turut menawarkan pelbagai ganjaran.

Katanya, hanya dengan menekan gambar ganjaran yang dipamerkan, dia akan menerima komisen hampir 10 peratus daripada nilai barangan tersebut. 

“Tanpa fikir panjang, saya mendaftar masuk ke aplikasi itu dan mula bermain permainan yang membolehkan saya mendapat komisen hingga 10 peratus dan hadiah menarik seperti basikal, telefon bimbit dan jam yang mencecah RM10,000.

“Saya telah bermain sebanyak 45 kali dengan memindahkan wang sebanyak RM41,500 ke dua akaun berbeza. Menerusi permainan itu, saya berjaya mencatatkan komisen sebanyak RM5,098,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, di sini hari ini. 

Menurut kerani itu, dia kemudiannya berhubung dengan lelaki yang dikenali sebagai Jack untuk menuntut duit komisen serta wang yang dipindahkan itu namun gagal berbuat demikian.

Katanya, lelaki itu menjelaskan bahawa dia tidak boleh membuat tuntutan selepas pukul 9 malam dan perlu bermain untuk 10 kali keesokan harinya.

“Saya telah terima panggilan telefon oleh seorang lelaki Cina yang mendakwa pengurus syarikat tersebut menyatakan akan membantu saya mengeluarkan kesemua wang milik saya dalam akaun tersebut. 

“Syarat yang diberikan saya harus membayar sebanyak RM10,000 untuk membolehkannya berbuat demikian. Saya tak setuju dan merasakan telah ditipu. Oleh itu, saya telah hadir ke Balai Polis Kelapa Sawit keesokan harinya untuk membuat laporan,” ujarnya. 

Wong memberitahu, dia telah meminjam dengan keluarga dan rakan-rakan bagi memindahkan wang sebanyak RM41,500 yang digunakan untuk permainan tersebut. 

Dalam pada itu, ADUN Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse berkata, nasib yang menimpa gadis itu perlu dijadikan peringatan kepada pengguna media sosial agar tidak mudah terpedaya dengan kesenangan yang mudah diperolehi.

“Mangsa terjerat perangkap penipuan itu kerana terdesak untuk mencari peluang bagi menambah pendapatan. Saya harap kejadian ini jadi pengajaran semua bahawa tidak mudah kemewahan datang bergolek,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya