Kemunculan ikan yu paus tarik perhatian - Utusan Malaysia

Kemunculan ikan yu paus tarik perhatian

KEMUNCULAN ikan yu paus di perairan Kuala Perlis kebelakangan ini menarik perhatian memandangkan spesis unik berkenaan sememangkan sukar ditemukan.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Selain ikan lumba-lumba, kemunculan ikan yu paus di perairan Kuala Perlis kebelakangan ini menarik perhatian memandangkan spesis unik berkenaan sememangnya sukar ditemukan.

Menariknya, dalam tempoh sebulan ini, ikan dengan anggaran berat 18 tan metrik itu sudah ditemukan sebanyak empat kali iaitu pada 6 September serta pada Sabtu, Ahad dan Isnin lalu oleh nelayan di sekitar perairan Tukun 400 Kuala Perlis di sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengasas Pencinta Hijau dan Hidupan Liar Perlis (PNW), Syamil Abd. Rahman berkata, kehadiran ikan yu paus atau nama saintifiknya Rhincodon typus di perairan Kuala Perlis kebelakangan ini cukup mengagumkan.

SYAMIL ABD. RAHMAN

Katanya, spesies yu paus merupakan ikan paling besar di dunia yang boleh membesar sehingga 12 meter panjang dengan berat boleh mencecah 21 tan metrik.

Malah katanya, ikan itu juga merupakan spesies paling lama pernah direkodkan berevolusi sejak jutaan tahun.

“Jangka hayat yu paus boleh mencecah sehingga 130 tahun dan hidup di perairan beriklim tropika pada suhu antara 25 hingga 30 darjah Celcius. Yu paus yang dirakamkan di Kuala Perlis ini sepanjang kira-kira ‘28 kaki’ dipercayai berusia dewasa matang berdasarkan rujukan rekod penemuan saintis di kepulauan Andaman,” katanya.

Tambah Syamil, difahamkan yu paus berenang dengan perlahan menghampiri permukaan dan boleh membuka mulut selebar satu meter bagi menyedut udang, plankton dan ikan kecil dengan menapisnya menggunakan insang dalam memenuhi permintaan diet hariannya sekurang-kurangnya 20 kilogram sehari.

Namun katanya, disebabkan ia mempunyai insang dan mempunyai ratusan embrio untuk melahirkan anak pada satu-satu masa, ia tidak dikategorikan sebagai mamalia.

“Dengan kehadiran spesies lumba-lumba, spesis paus dan spesies yu paus sebagai pemangsa, Kuala Perlis dilihat merupakan antara perairan penting bagi laluan serta habitat hidupan laut yang lain,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, keunikan serta keistimewaan Kuala Perlis yang menjadi tumpuan pelbagai spesis unik seperti ikan lumba-lumba dan yu paus perlu dimanfaat sebaik mungkin dengan menjadikan kawasan berkenaan sebagai produk pelancongan baharu.

Sebelum ini, pada 8 September lalu akhbar ini melaporkan, selain terkenal dengan julukan ‘syurga makanan laut’, Kuala Perlis juga istimewa apabila perairan di situ menjadi antara ‘lubuk’ atau tumpuan ikan lumba-lumba khususnya jenis Indo Pacific Humpback.

Siapa sangka, meskipun perairan Kuala Perlis tidak seindah pantai-pantai lain seperti Langkawi atau sebagainya namun tetap menjadi ‘pilihan’ ikan lumba-lumba tersebut.

Difahamkan sekitar 200 hingga 300 ikan lumba-lumba terdapat di perairan Kuala Perlis dengan musim kemarau di Perlis antara Disember hingga April kelibat ikan berkenaan kerap boleh dilihat di pesisir pantai di sini.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya