Pasaran buruh Malaysia kekal stabil pada Mac 2026

Pasaran buruh Malaysia kekal stabil pada Mac 2026

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran buruh Malaysia kekal stabil pada Mac 2026, dengan kadar pengangguran 2.9 peratus, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi bulanan ekonomi tersebut didorong oleh prospek ekonomi yang positif bagi Mac 2026, sekaligus membolehkan pasaran buruh negara mengekalkan pertumbuhan yang stabil.

Katanya, tenaga buruh meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada 17.31 juta orang bagi Mac 2026 manakala kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada bulan yang sama pula kekal 70.9 peratus seperti pada bulan sebelumnya.

“Bilangan penduduk bekerja terus menunjukkan peningkatan secara sederhana pada Mac 2026, bertambah sebanyak 0.1 peratus kepada 16.80 juta orang berbanding bulan sebelumnya.

“Pada masa yang sama, bilangan penganggur meningkat sedikit sebanyak 0.4 peratus kepada 509.0 ribu orang manakala kadar pengangguran Mac tidak berubah pada 2.9 peratus, sama seperti Februari 2026,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd. Uzir berkata, sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada jumlah guna tenaga pada Mac 2026, terutamanya dalam aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman, aktiviti maklumat dan komunikasi serta aktiviti pengangkutan dan penyimpanan.

Beliau berkata, sektor pembuatan, pembinaan dan pertanian turut merekodkan peningkatan dalam bilangan penduduk pekerja manakala guna tenaga dalam sektor perlombongan dan pengkuarian mencatatkan sedikit penurunan pada bulan tersebut.

“Mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, atau penganggur aktif, merangkumi 79.7 peratus daripada jumlah penganggur dan meningkat 0.3 peratus kepada 405.8 ribu orang bagi Mac 2026.

“Mengikut tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, 64.1 peratus adalah merupakan mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, sementara 4.9 peratus adalah mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.

“Selain itu, penganggur tidak aktif, atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, naik 1.1 peratus kepada 103.2 ribu orang daripada 102.1 ribu orang pada bulan sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata, bilangan penduduk di luar tenaga buruh pada Mac 2026 merekodkan penurunan sebanyak 0.02 peratus kepada 7.10 juta orang, berbanding bulan sebelumnya.

“Komposisi utama bagi luar tenaga buruh adalah kerja rumah atau tanggungjawab keluarga yang merangkumi 43.3 peratus, manakala kategori bersekolah atau latihan berada di kedudukan kedua pada 40.6 peratus,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata, tenaga buruh Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan positif setelah meningkat 0.3 peratus kepada 17.23 juta orang selaras dengan peningkatan 0.3 peratus yang sama bagi bilangan penduduk bekerja kepada 16.73 juta orang.

“Bilangan penganggur menurun 0.4 peratus kepada 506.5 ribu orang, sekali gus membawa kepada pengurangan 0.1 mata peratus dalam kadar pengangguran kepada 2.9 peratus.

“Pada suku tahun pertama 2026, Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) kekal stabil pada 70.9 peratus, mencerminkan penurunan kadar lelaki kepada 83.3 peratus dan peningkatan kadar perempuan kepada 56.8 peratus, manakala bilangan penduduk yang bekerja kurang 30 jam seminggu meningkat 2.5 peratus kepada 231.6 ribu orang.

“Sementara itu, bilangan penduduk yang bekerja kurang daripada 30 jam seminggu serta mampu dan sanggup menerima tambahan jam bekerja, atau diklasifikasikan sebagai guna tenaga tidak penuh berkaitan masa, turun 3.6 peratus kepada 123.3 ribu orang, dengan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan masa pada 0.7 peratus.

“Pada masa yang sama, guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran, yang merangkumi individu berpendidikan tertiari namun bekerja dalam pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah, menunjukkan peningkatan 0.2 peratus kepada 1.93 juta orang, sementara kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran menurun 0.1 mata peratus kepada 35.2 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN