Kuota BUDI95 mungkin dikurangkan kepada 150 liter

Kuota BUDI95 mungkin dikurangkan kepada 150 liter

LIEW CHIN TONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kuota penggunaan bahan api di bawah program Budi Madani (BUDI95) berpotensi dikurangkan kepada 150 liter selaras usaha kerajaan memastikan keterjaminan bekalan bahan api domestik susulan konflik Asia Barat.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, walaupun tiada garis masa ditetapkan bagi pelaksanaan pengurangan itu, langkah tersebut boleh dipertimbangkan kerana BUDI95 mempunyai keupayaan menyediakan data penggunaan secara terperinci.

Beliau berkata, keupayaan itu membolehkan kerajaan melaksanakan pelarasan subsidi dan pengurusan bekalan secara lebih fleksibel mengikut keperluan semasa.

Kataya, data penggunaan semasa menunjukkan sebahagian besar rakyat Malaysia menggunakan petrol pada kadar jauh lebih rendah daripada kuota semasa.

“Kuota penggunaan ketika ini ditetapkan pada 200 liter sebulan selepas dikurangkan daripada 300 liter sebelum ini.

“Walaupun berlaku pengurangan, kesannya terhadap majoriti rakyat amat minimum apabila data menunjukkan kira-kira 80 peratus rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter petrol sebulan.

“Langkah seterusnya adalah 150 liter. Sebanyak 60 peratus daripada populasi menggunakan kurang daripada 150 liter. Malah, 50 peratus daripada populasi menggunakan kurang daripada 100 liter,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Fireside Chat bertajuk Malaysia’s Response to Global Energy Crisis: Build Back Better sempena AFFIN Market Outlook Conference: Propelling Malaysia Forward 2026 anjuran AFFIN Group hari ini.

Chin Tong berkata, usaha mengurangkan penggunaan bahan api penting bagi memastikan bekalan dapat diagihkan secara konsisten kepada rakyat walaupun pada kadar lebih terkawal.

“Kerajaan juga perlu memberi perlindungan kepada golongan berpendapatan rendah dan pengguna motosikal yang paling terkesan sekiranya berlaku kenaikan mendadak harga bahan api.

“Pengguna motosikal contohnya dianggarkan hanya menggunakan sekitar 50 liter petrol sebulan dan perlu terus menikmati kadar subsidi tinggi bagi mengelakkan tekanan kos sara hidup yang lebih besar,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan itu penting daripada sudut kestabilan sosial dan politik negara khususnya bagi memastikan golongan rentan tidak terbeban dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

Katanya, perbelanjaan bulanan kerajaan bagi subsidi bahan api meningkat hampir 10 kali ganda susulan lonjakan harga minyak mentah akibat peningkatan konflik geopolitik di Asia Barat pada akhir Februari.

“Kerajaan masih merangka mekanisme subsidi diesel bersasar bagi Sabah dan Sarawak sama seperti pelaksanaan BUDI95.

“Dalam jangka panjang, negara perlu mempercepat pelaburan dalam pengangkutan awam, elektrifikasi dan perancangan bandar lebih padat bagi mengurangkan kebergantungan terhadap minyak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN