Konvensyen PH Ahad ini perlu jelaskan kerjasama dengan BN menjelang PRN, PRU

Konvensyen PH Ahad ini perlu jelaskan kerjasama dengan BN menjelang PRN, PRU

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Konvensyen Pakatan Harapan (PH), Ahad ini perlu menjadi medan memperjelas bentuk kerjasama antara gabungan itu dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkata, perkara itu penting kerana sehingga kini tiada kerjasama politik rasmi antara kedua-dua gabungan di Johor walaupun wujud Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, konvensyen tersebut wajar membincangkan strategi politik semasa termasuk isu ketidaksepakatan di beberapa negeri serta usaha memperkukuh kerjasama nasional.

“Ia juga perlu melihat isu usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan serta pengukuhan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Konvensyen berkenaan diharap dapat memberi keyakinan kepada rakyat selain menjelaskan pendekatan politik yang bakal diambil demi menjamin kestabilan dan masa depan Johor.

“Rakyat Johor memerlukan satu hala tuju politik yang lebih jelas khususnya melibatkan kerjasama PH dan BN bagi menghadapi pilihan raya akan datang. Ini bertujuan memberi keyakinan kepada rakyat bahawa pendekatan diambil demi menjamin kestabilan dan masa depan Johor,” katanya.

Katanya, PRN dan PRU wajar diadakan secara serentak demi mengelakkan pembaziran kos dan penggunaan sumber kerajaan.

“Ia boleh meningkatkan peratusan keluar mengundi khususnya melibatkan pengundi Johor yang bekerja di Singapura yang berdepan kesukaran pulang mengundi sebanyak dua kali sekiranya pilihan raya diadakan berasingan,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN