KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warganegara India dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian rakan senegaranya, empat tahun lalu.
Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor memerintahkan hukuman penjara ke atas Pushpa Raj Alexander, 50, berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 20 Julai 2022.
Alexander sebelum ini didakwa atas tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati namun ditawarkan dengan pertuduhan pilihan selepas Jabatan Peguam Negara menerima representasi yang dihantar tertuduh.
Bagi pertuduhan pilihan itu, tertuduh didakwa menyebabkan kematian individu bernama Murthi di antara pukul 2.20 dan 2.30 petang, 19 Julai 2022 di lorong belakang sebuah kafe di Jalan Tun H.S Lee, Dang Wangi di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene memohon hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh kerana ia membabitkan kesalahan serius.
Bagaimanapun, peguam bela, A.N. Subramaniyan yang mewakili Alexander memohon agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana kejadian berpunca daripada tindakan rakan mangsa mengambil telefon bimbit tertuduh.
“Telefon bimbit adalah alat untuk tertuduh berkomunikasi dengan keluarganya. Sekiranya telefon bimbit itu tidak diambil, insiden ini tidak akan terjadi,” kata peguam itu. – UTUSAN










