KUALA LUMPUR: UMNO Arau menggesa supaya Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO negeri itu, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ini kerana kemenangan akan lebih terjamin dengan kesatuan tersebut yang tidak memberi ruang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mentadbir negeri itu.
“Berhubung PRN Melaka ini, UMNO Arau memutuskan supaya BN bekerjasama dengan Bersatu dan Pas. UMNO harus memulakan sifatnya sebagai pencetus kepada perpaduan Melayu yang menjamin kemenangan pada PRN kali ini.
“Pergi secara solo adalah tidak wajar dan boleh menempah kekalahan, pandangan UMNO Arau ini disokong UMNO Padang Besar dan banyak lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Shahidan lagi, UMNO boleh meminta untuk bertanding kerusi yang lebih banyak berbanding parti lain memandangkan jentera UMNO lebih kuat berbanding parti-parti lain.
“Kita boleh minta kerusi yang banyak untuk bertanding dan atas bentuk kerjasama, kita perlu bekerjasama, bukan solo.
“Ini sesuatu yang tidak wajar kerana UMNO adalah parti bumiputera,” ujarnya lagi.
Dilaporkan sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, biarlah parti itu bertanding dengan panji-panji Barisan Nasional (BN) secara solo dan rakyat akan memilih parti yang terbaik.
Bagaimanapun, Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara itu akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) parti apabila tiba masanya nanti. – UTUSAN











