PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggesa kerajaan membuat ketetapan berhubung tanggungjawab majikan terhadap kematian pekerja akibat dijangkiti Covid-19 ketika bertugas.
Beliau menegaskan, tindakan ini bukan satu langkah menekan sebaliknya bersandarkan kebertanggungjawaban dan kemanusiaan.
“Langkah ini juga memastikan majikan lebih serius dan bersungguh dalam memastikan keselamatan pekerja mereka pada setiap masa,” katanya menerusi laman Facebooknya hari ini.
Ahmad Zahid berkata, tindakan itu bagi membolehkan kebajikan keluarga mangsa mendapat pembelaan yang setimpal serta diberikan pampasan sepatutnya.
“Ini termasuk urusan pengebumian, pampasan sehinggalah kepada kebajikan ahli keluarga mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kematian dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Johor yang menghembus nafas terakhir akibat positif Covid-19 pada tahun ini.
Katanya, kedua-dua anggota berusia 55 tahun itu dijangkiti Covid-19 ketika melakukan tugasan operasi dan maut ketika menjalankan tanggungjawab kepada negara.
Beliau turut menegaskan, nasib ahli keluarga dua anggota itu perlu mendapat pembelaan sewajarnya berbanding sektor swasta.
“Sesungguhnya ini adalah pengorbanan yang nyata kepada tanah air. Saya percaya ahli keluarga para mangsa sedang mendapat pembelaan yang sewajarnya oleh kerajaan.
“Bagaimana pula dengan pekerja sektor bukan kerajaan yang terkorban akibat dijangkiti Covid-19 semasa diarahkan bertugas oleh majikan?
“Apakah ahli keluarga mereka akan turut mendapat pembelaan yang sewajarnya?” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE