KUALA LUMPUR: Semua aspek berkaitan pengurusan haji pada tahun ini berjalan lancar dan akan diteruskan seperti dijadualkan walaupun negara berhadapan dengan krisis ekonomi berikutan pergolakan di Asia Barat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, Tabung Haji juga telah menjalankan persiapan rapi bagi memastikan penerbangan pertama yang bakal bertolak menunaikan ibadah haji pada 18 April berjalan lancar.
Zulkifli berkata, jemaah haji tidak perlu bimbang memandangkan Tabung Haji mempunyai pelan kontingensi yang kukuh bagi menghadapi sebarang perubahan untuk memastikan kelancaran keseluruhan operasi haji tahun ini.
“Setakat ini semua aspek pengurusan haji berada dalam keadaan terkawal, malah lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Secara keseluruhan, perancangan haji berada pada landasan yang tepat dan terkawal. Penerbangan pertama dijangka berlepas ke Tanah Suci pada 18 April,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen Universiti Antarabangsa MAIWP (UniMAIWP) Kali Ke-16 di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), di sini semalam.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata beliau baru pulang daripada lawatan rasmi di Madinah dan telah bermesyuarat bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah.
Katanya, mesyuarat sama turut dihadiri menteri-menteri agama dan haji dari seluruh dunia.
“Saya telah melawat persiapan di Mekah dan Madinah. Saya dapat lihat persiapan yang telah dilakukan sangat rapi, teliti dan malahan lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.
“Malah, kita mendapat pujian daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dengan persiapan dan juga persediaan yang ada.
“Ini kelebihan negara kita. Kita mempunyai pengurusan haji yang terbaik di dunia,” katanya. – UTUSAN










