Empat helikopter AW149 baharu perkukuh TDM

Empat helikopter AW149 baharu perkukuh TDM

AZHAN Md. Othman (kiri) ketika menyerahkan Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera (AKPAT) kepada Panglima 10 Briged (Para), Datuk Khairul Anwar pada Perbarisan Hari Tentera Darat ke-93 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam. – MINGGUAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) dijangka menerima aset baharu termasuk empat helikopter Leonardo AW149 dalam usaha memperkukuh keupayaannya antara Ogos hingga hujung tahun hadapan.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md. Othman berkata, empat helikopter Leonardo AW149, diperoleh menerusi sewaan kerajaan selama 15 tahun.

“Helikopter tersebut dijangka tiba bermula Ogos tahun hadapan dan akan meningkatkan kesiapsiagaan operasi sayap udara Tentera Darat.

“Sayap udara itu juga dijangka menerima empat helikopter utiliti tempur menerusi sewaan lima tahun melalui tender terbuka, susulan pembatalan kontrak sewaan Black Hawk sebelum ini.

“Selain itu, Tentera Darat merancang untuk meneruskan pajakan empat helikopter AW139 yang kini dipajak oleh Tentera Udara Diraja Malaysia,” katanya pada sidang media selepas perbarisan Hari Tentera Darat ke-93 di Kem Sungai Besi di sini semalam.

Kerajaan sebelum ini memeterai pajakan selama 15 tahun bernilai RM16.6 bilion bagi 28 helikopter Leonardo AW149, merangkumi perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), latihan, pemindahan kemahiran, insurans serta kos pembiayaan.

Azhan memaklumakan Tentera Darat juga dijangka menerima aset baharu iaitu meriam 155mm self-propelled howitzer (SPH) secara berperingkat mulai tahun depan.

Sementara itu, TDM menetapkan hala tuju yang jelas iaitu menjadi sebuah angkatan yang bukan sahaja bersifat konvensional, malah bersedia untuk masa depan bagi menghadapi sebarang cabaran keselamatan.

Pada usia 93 tahun penubuhannya, TDM melihat hala tuju tersebut suatu yang rasional memandangkan cabaran keselamatan masa kini semakin kompleks melibatkan ancaman hibrid, peperangan pelbagai domain serta ketidaktentuan geopolitik serantau.

Azhan berkata, slogan ‘Kemahuan Untuk Menang’ pada Tema Hari Tentera Darat Ke-93 diterjemahkan kepada pembinaan keupayaan lebih tangkas, berwibawa dan bersedia untuk menghadapi ancaman masa kini.

“Tentera Darat bersama-sama Angkatan Tentera Malaysia kini sedang melalui fasa transformasi holistik untuk memenuhi keperluan ‘Angkatan Masa Hadapan Domain Daratan (AMH-D2)’.

“Evolusi ini menuntut Tentera Darat untuk membangunkan keupayaan bagi memiliki postur angkatan yang kredibel, tangkas dan tuntas serta struktur angkatan yang bersifat modular, lethal and deployable (modular, berdaya tempur tinggi dan boleh diatur gerak).

“Dalam konteks itu, Tentera Darat menjadi organisasi yang lean and mean serta fit for purpose untuk mencapai operation coherence dalam melaksanakan Operasi Pelbagai Domain (OPD),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN