KUALA LUMPUR: Kenderaan MIFV K200 milik Tentera Darat Malaysia (TDM) yang pernah digunakan ketika misi Pasukan Perlindungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNPROFOR) di Bosnia and Herzegovina kini berwajah baharu dengan lebih canggih.
Kenderaan tersebut yang banyak berjasa ketika konflik itu antara aset yang menjadi tumpuan dalam pameran Perkhidmatan Pertahanan ASIA (DSA) 2026 & Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Pengurus Cendana Auto Sdn. Bhd., Mohamad Normazuan Mustafa berkata, prototaip MIFV K200 kini dilengkapi antena Pilar V yang mampu mengesan tembakan musuh dan berkebolehan melaksanakan serangan balas sebagai pelindung.
Katanya, sistem tersebut juga direka khusus sebagai salah satu perlindungan untuk anggota yang mengeoperasikan kenderaan yang telah memasuki usia lebih 30 tahun itu.
“MIFV K200 yang dilengkapi enjin MAN-Doosan D2848T berkemampuan menghasilkan enjin 350hp.
“Di samping itu, kenderaan ini turut diubah suai dengan system hidraulik bagi pintu tanjakan berbanding system lama yang menggunakan kuasa enjin,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Dalam pada itu, Mohamad Normazuan berkata, prototaip MIFV K200 itu juga mengikut spesifikasi TDM dengan dilengkapi system persenjataan sistem senjata kawalan jauh (RCWS) 12.7 millimeter (mm).
Selain itu katanya, MIFV K200 yang dinaik taraf hasil kerja pakar tempatan mempunyai ketebalan plat armor tahap tiga bagi menangani ancaman senjata raifal dan boleh di tingkat upaya bagi mengekang ancaman tembakan pelancar roket grenad (RPG). – UTUSAN









