KOTA KINABALU: Bekas Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan meletak jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Tuaran berkuat kuasa 1 April lalu, namun kekal sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Abdul Rahman berkata, tindakan itu dilakukan bukan kerana wujud masalah dalam UMNO Sabah, sebaliknya ingin memberi peluang kepada orang baharu untuk memimpin bahagian itu.
Katanya, dalam suasana politik terkini, UMNO Sabah memerlukan pemimpin muda untuk memastikan kelangsungan kepemimpinan dan perjuangan parti.
“Saya pun sudah bersama-sama dalam UMNO lebih 10 tahun sebelum parti itu masuk Sabah dengan penubuhan Kelab UMNO California. Sebelum keputusan ini diambil, saya sudah berbincang dengan semua rakan dalam UMNO dan mereka faham.
“Ini kerana, dalam suasana politik sekarang, kita kena bagi laluan kepada orang baharu untuk memimpin UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan, kekosongan itu diisi oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Norbaki Lamsari.
Abdul Rahman berkata, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Setiausaha Agung, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Abdul Rahman berdepan pasang surut sejak 2020 susulan perbezaan pendapat antara beliau dengan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, Abdul Rahman sepatutnya mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk, namun menarik diri selepas namanya diumumkan. – UTUSAN










