Jangan pandang ringan kewajiban solat Jumaat - Raja Muda Perlis

Jangan pandang ringan kewajiban solat Jumaat – Raja Muda Perlis

TUANKU SYED Faizuddin Putra Jamalullail melihat imej masjid baharu di Masjid Al-Kauthar Paya, Kangar, Perlis, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan seluruh umat Islam yang melengkapi syarat kewajiban solat Jumaat di negeri ini melaksanakan kewajiban tersebut dan tidak mengabaikannya.

Baginda bertitah, sejak masjid kembali dibuka selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan Covid-19, didapati terdapat tren menurun daripada segi kehadiran umat Islam menunaikan solat Jumaat di negeri ini.

Seterusnya, Tuanku Syed Faizuddin menyeru masyarakat tidak memandang ringan dalam menunaikan solat Jumaat kerana ia adalah satu kewajiban.

“Solat Jumaat perlu ditunaikan melainkan bagi mereka yang uzur atau yang terhalang daripada hadir atas dasar maslahah untuk mengelakkan mudarat bagi membendung jangkitan dan penularan wabak penyakit,” titah baginda merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Kauthar Paya baru-baru ini.

Hadir menyambut keberangkatan baginda, Exco kerajaan negeri, Azizan Sulaiman dan pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri, Muhammad Hafeez Abu Seman.

Solat Jumaat tersebut adalah terakhir di bangunan masjid yang telah beroperasi sejak tahun 1966 itu.

Masjid itu akan dirobohkan bagi tujuan pembinaan semula bangunan baharu dalam masa terdekat ini. 

Sehubungan itu, masjid tersebut akan ditutup mulai 9 Oktober untuk diserahkan kepada kontraktor projek sejurus selepas proses pemilihan tender diumumkan.

Cadangan menaik taraf Masjid Al-Kauthar itu telah bermula sejak Mei 2016 selepas Tuanku Syed Faizuddin berkenan melancarkan tabung kutipan dana yang kini mencecah hampir RM1 juta. 

Manakala, kerajaan negeri pula memperuntukkan sebanyak RM3.2 juta untuk tujuan pembinaan masjid baharu itu.

Dalam tempoh dua tahun sehingga siap masjid baharu itu, semua anak kariah boleh mengimarahkan surau Paya bagi mengerjakan solat fardhu dan kelas agama. 

Pada masa yang sama, usaha bagi membesarkan surau itu juga sedang dalam perancangan untuk dilaksanakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.