NAIROBI: Polis Kenya menahan lapan pelajar perempuan kelmarin kerana disyaki melakukan perbuatan khianat dalam insiden kebakaran yang memusnahkan asrama sekolah sehingga mengorbankan 16 nyawa dan mencederakan 79 yang lain Khamis lalu.
Polis berkata, 30 pelajar turut ditahan semalaman untuk membantu siasatan, manakala motif kejadian masih belum dikenal pasti.
Pihak berkuasa memaklumkan, pentadbir sekolah berkemungkinan berdepan tindakan disiplin selepas didapati berlaku pelanggaran keselamatan, termasuk pintu keluar yang berkunci ketika pelajar cuba menyelamatkan diri.
Menteri Pendidikan, Julius Ogamba berkata, dua guru didapati mengetahui terdapat pelajar yang merancang sesuatu, namun gagal mengambil tindakan sewajarnya.
Sekolah Utumishi Girls, yang terletak kira-kira 120 kilometer (75 batu) dari ibu kota Nairobi, diurus dan ditaja oleh pihak polis, dan ramai pelajarnya ialah anak kepada anggota polis.
“Penyiasat telah menjalankan temu bual secara meluas dengan pelajar, kakitangan pengajar dan saksi lain, manakala pasukan forensik sedang melakukan semakan terperinci terhadap rakaman CCTV yang ada,” kata jurucakap unit penyiasatan polis kebangsaan, John Marete, dalam satu kenyataan.
Ogamba berkata, lembaga pengurusan sekolah dibubarkan dan pengetua akan berdepan tindakan disiplin kerana gagal mematuhi peraturan keselamatan.
“Secara khususnya, terdapat kesesakan di dalam asrama dan satu pintu keluar didapati berkunci, bertentangan dengan keperluan keselamatan yang ditetapkan,” katanya.
Kebakaran di sekolah sudah lama menjadi kebimbangan pihak berkuasa pendidikan di Afrika Timur, apabila bilik darjah dan asrama sering sesak serta peralatan pemadam kebakaran jarang tersedia dengan mudah.
Kebakaran tersebut kadangkala dikaitkan dengan masalah elektrik, namun terdapat juga kes pelajar membakar sekolah akibat isu disiplin.- AP










