KUALA LUMPUR: Pembangkang memberi amaran supaya kerajaan tidak menggunakan Bajet 2022 sebagai ‘gula-gula’ untuk memancing undi untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ini kerana jelas Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru), bantuan harus dibuat secara adil kepada semua rakyat tanpa mengira kawasan tanpa mengharapkan balasan.
“Jangan guna kekayaan negara untuk raih undi. Dia (kerajaan) patut bantu rakyat, tidak kira bantu Melaka kah, Pulau Pinang kah, Perak kah, Sabah atau Sarawak, harus adil kepada semua.
“Kita tidak mahu esok pengumuman dan ia menggunakan konsep ‘i help you, you help me’ (saya tolong awak, awak tolong saya), budaya ini perlu diberhentikan,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Tambah Tze Tzin, imbuhan atau ‘gula-gula’ yang diberi sama ada sebelum, semasa dan selepas pilihan raya adalah kesalahan di bawah akta pilihan raya.
“Itu adalah rasuah pilihan raya,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menuntut akses kepada media termasuk media arus perdana secara adil bagi membenarkan pembangkang berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.
Ia berikutan larangan Kementerian Kesihatan yang tidak membenarkan berkempen secara fizikal bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.
“Ini sebagai amaran kepada kerajaan sekarang. Kita harap semua masuk pada pilihan raya secara adil dan saksama, akses kepada media, semua calon mendapat ‘equal airtime’ untuk akses kepada media, Kita tidak boleh adakan pelancaran jentera.
“Tidak kira akses kepada RTM, TV3, Astro Awani atau apa pun,” tegasnya. – UTUSAN










